Mata air di kaki Gunung Angsi jadi tarikan
KUALA PILAH: Pengguna jalanraya yang menggunakan laluan Seremban – Kuala Pilah sudah pasti akan melalui laluan baru Bukit Putus yang dikelilingi dengan hutan simpan Gunung Angsi.
Di kilometer 20, iaitu di kaki Gunung Angsi, sudah menjadi kebiasaan melihat orang ramai tidak putus-putus dari pagi hingga tengah malam beratur menunggu giliran untuk mengisi bekas air mereka dengan air yang mengalir keluar dari mata air di kaki Gunung Angsi tersebut.
FMT menemuramah beberapa orang yang datang ke lokasi tersebut untuk mendapatkan bekalan air tersebut.
Manaf Samsudin, 75, dari Senawang sanggup memandu sejauh 30 kilometer (pergi dan balik) semata-mata untuk mendapatkan bekalan air dari mata air kaki Gunung Angsi.
“Saya tidak minum air paip walaupun air paip dimasak sekali pun. Sejak 10 tahun saya hanya minum air dari mata air kaki gunung sahaja. Saya rasa badan saya selesa, segar, tiada demam dan bebas dari penyakit kencing manis.
“Kalau sesiapa tanya apa rahsia saya sihat walaupun sudah berumur 75 tahun, ianya tidak lain tidak bukan hanyalah dengan meminum air gunung ini sahaja. Saya minum air ini tanpa masak dan saya tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan”, katanya.
Rosli Sharip, 47, dari Kuala Pilah juga sanggup memandu sejauh 34 kilometer (pergi dan balik) untuk mendapatkan bekalan air dari mata air kaki Gunung Angsi ini.
Sedap dan segar
“Saya minum air ini sejak tiga tahun lepas dan rasanya lain daripada air paip yang dimasak di rumah. Malah rasa air ini lebih sedap dan segar berbanding air mineral yang dijual di kedai.
“Kalau minum air gunung ini, kurang sakit badan dan kurang penat,” kata Rosli.
Apabila ditanya FMT apakah air ini selamat diminum dan tiada kesan sampingan terutama apabila diminum tanpa dimasak, Rosli berkata beliau pernah mengambil inisiatif sendiri dengan menghantar sampel air ini ke sebuah makmal ujian di Petaling Jaya.
“Saya mempunyai seorang sahabat yang bekerja di sebuah makmal di Petaling Jaya. Saya pernah menghantar sampel air gunung ini kepada beliau.
“Selepas sahabat saya melakukan ujian terhadap sampel air ini beliau memaklumkan kepada saya bahawa air gunung ini bebas daripada kuman dan bakteria. Atas sebab itu saya sekeluarga tidak pernah ragu-ragu untuk minum air gunung ini,” jelas Rosli.
Yahya Ibrahim, 64, dari Seremban berkata beliau akan memandu sejauh 40 kilometer (pergi dan balik) setiap minggu untuk mendapatkan bekalan air gunung ini.
Lebih asli
“Saya suka air ini kerana tiada klorin. Kalau minum air ini badan pun rasa segar dan lebih bertenaga. Saya percaya kandungan mineral di dalam air gunung ini tinggi dan lebih asli daripada yang dibeli di kedai.
“Mak saudara saya juga mengamalkan meminum air gunung ini dan beliau mendakwabeliau telah sembuh dari penyakit asma setelah mengamalkan minum air gunung,” katanya.
Yahya berkata kehadiran orang ramai untuk mengambil bekalan air gunung ini pada hari cuti hujung minggu lebih ramai.
“Warga Kuala Pilah dan Jempol yang kebanyakannya kerja di Seremban dan Kuala Lumpur akan singgah mengambil bekalan air gunung ini ketika balik semula ke Seremban atau Kuala Lumpur.
“Nasib baik hari ini hari bekerja dan tidak ramai orang. Kalau saya datang pada hari Sabtu atau Ahad, paling cepat saya kena tunggu giliran saya selama sejam hingga sejam setengah”, kata Yahya.
Setelah tiga minggu mencuba minum air gunung ini tanpa di masak, penulis FMT mengakui air gunung ini jauh lebih segar dan sedap diminum berbanding air paip yang dimasak, air mineral yang dijual di kedai dan pelbagai jenis air yang dijual di mesin jual air.
Air gunung ini juga kekal segar walaupun setelah diisi di dalam botol air mineral dan diletak di dalam bilik (suhu bilik).