Ada yang kaya raya tapi umur pendek.Ejaan 'umur pendek' tu betul-betul sikit jangan tersilap eja....nanti dapat dosa. Ada yang menjadi popular tetapi umur pendek. Ada yang jadi sampah masyarakat dan tinggal di bawah jambatan di dalam suasana persekitaran yang kotor dan terdedah oleh berbagai jenis penyakit tetapi nampak sihat.Itulah kehidupan yang kita tidak dapat menilai erti kehidupan yang sebenar. Joseph Joubert pernah berkata' Life is a country that the old have seen and lived in.Those who have to travel through it can only learn the way from them'.
Pemergianmu pada pukul 3.30 pagi di musim luruh waktu UK adalah titik noktah terakhir perjalanan hidupmu yang hampir berumur 101 tahun .Panggilan telepon yang aku terima di waktu tidur dibuai mimpi dan berselubung dengan suasana dingin teramat dingin.Suasana dingin di luar jendela boleh membuatkan tubuh menjadi kaku.Kepulan salji putih berduyun-duyun jatuh melayang ke tanah dan hinggap di cermin jendela di dalam keadaan dingin yang mencengkam.Perjalanan hidupmu telah berakhir kini.Aku perlu tabah.Aku perlu menerima hakikat yang hidup pasti mati.Anak dagang mesti berani.Setitik air mata yang jatuh ke bumi adalah air mata 'dayus'.Anak dagang adalah anak jantan.Aku tidak akan menangis.Namun segala kenangan tika hidup bersamamu merupakan episod suka duka di sebuah kampung yang mengalir anak-anak sungai dan dikelilingi sawah padi yang menghijau.
Nenek ada sebuah rumah bertiang nibung beratap rumbia. Rumah nenek di tepi sawah.Di belakang rumah itu ada sebatang anak sungai mengalir tenang.Di sinilah aku berenang-renang bersama kawan-kawan menangkap anak-anak ikan . Di sungai inilah kami terjun,berenang,menyelam ibarat mandi di kolam renang di condominium yang dinikmati oleh generasi moden pada masa ini.Anak- anak seluang berbolak-balik dan menampakkan sisik di badan yang berkilauan.Anak-anak ikan haruan berlari-lari sambil membenam tubuhnya bersembunyi di sebalik lumpur tanpa diganggu.Di belakang rumah nenek terdapat pohon-pohon nyiur dan pohon-pohon pinang melambai-lambai di tiup angin lembut.Dari arah jendela rumah nenek dapat dilihat lambaian pohon padi yang menguning menandakan musim mengetam telah tiba.Burung pipit dan chak uban berterbangan kekenyanyan selepas meragut biji-biji padi kekuningan tanpa restu.Pemandangan sawah padi yang luas terbentang, pohon-pohon yang menghijau dan tiupan angin sawah yang syahdu adalah lambang kedamaian yang dapat mengubat hati yang pilu,jiwa yang resah dan rindu yang terseksa.Aku sedih dan pilu bila terkenang kampung halaman yang kini telah hilang dek proses pembangunan.
Nenek ialah seorang yang cergas.Seingat aku nenek tidak pernah sakit.Aku tinggal bersama nenek.Nenek pandai memasak.Setiap masakan nenek menjadi kegemaranku.Nenek pandai masak gulai ikan puyu masak lemak campur daun kesum.Bukan daun ketum.Dulu aku tidak tahu apa itu daun ketum.Mereka lebih kenal daun ganja..Selepas filem hare rama hare krisna meletup pihak berkuasa mengharamkan penghisapan ganja. Filem tersebut juga diharamkan. Aku suka makan pais ikan haruan.Kalau makan tengahari nenek akan hidangkan kari ikan puyu dan ulam-ulam dan sambal belacan yang dipetik di belakang rumah nenek.Ikan-ikan haruan,puyu dan sepat ditangkap di sungai di belakang rumah nenek dengan menggunakan 'bubu buluh'.Nenek juga suka memancing ikan puyu dan haruan sehingga lewat petang.Pemandangan waktu hampir senja cukup indah menampakkan matahari yang sedang terbenam dengan pantulan cahaya yang kemerah-merahan.Sunyi pun mencengkam dan tiada lagi kedengaran suara anak-anak ayam dan nyanyian burung-burung berkicaun.Sesekali terdengar suara cengkerik berlagu nyaring dan sang kodok memecah kesunyian memanggil hujan.Tiada lagi kambing-kambing jantan berlari galak memburu kambing betina.Ayam jantan galak berkokok -kokok memikat ayam betina.Semuanya telah masuk kandang sunyi sepi sambil beristirehat menunggu hari esok yang belum pasti........
Nenek amat mengambil berat tentang amalan agama.Di pagi subuh yang hening aku dapat mendengar nenek melagukan aya-ayat suci Al-Quran.Suara nenek yang merdu semerdu lagu nyanyian Syarifah Aini.Aku sering kelewatan mengerjakan solat subuh.Berkali-kali nenek kejutkan dan berkata,'kalau tidak sembahyang subuh rezeki lari'.Kata-kata keramat itu menjadi pedoman pada diriku supaya jangan meninggalkan solat subuh.Lebih-lebih lagi subuh berjemaah di surau atau masjid.Bukankah bersolat di masjid itu mendapat 27 kali ganjaran daripada bersolat di rumah.
Nenek pergi selepas enam bulan aku berada di luar negara.Kekuatan iman dan semangatku adalah nadi kekuatan yang nenek salurkan pada diriku supaya aku menjadi manusia tabah.Keiklasan,ketulusan,keindahan budi pekerti tersemai di jiwa nenek.Walaupun nenek buta huruf tetapi hatinya tidak buta.Bukankah orang buta dijanjikan syurga oleh Allah s.w.t. Nenek pernah berkata,'jangan jadi manusia buta hati biar buta mata'. Di dalam Al Quran surah Al-A'raaf ayat 64 Allah s.w.t telah menerangkan tentang kaum yang buta iaitu buta hati.
Hidup bersama nenek telah berlalu.Keindahan dan ketenangan kampung halaman telah hilang dan tenggelam.Rumah-rumah bertiang nibung dan berdinding buluh telah digantikan dengan dinding batu.Sungai-sungai yang dulunya mengalir jernih kini telah dinodai oleh kumuhan bahan-bahan kimia.Anak-anak seluang telah tiada.Ikan-ikan haruan,puyu,sepat telah mati.Pemandangan sawah padi yang menguning dan pohon-pohon yang menghijau telah dimatikan oleh bangunan-bangunan batu.