Our Chat Room

Sunday, June 5, 2011

Pulau yang kutinggalkan



Dulu aku pernah memeluk dan meniduri pulau ini.Suasana persekitaranya yang sunyi dan jauh dari kebisingan manusia yang rakus memusnahkan keindahan alam.Suasana pohon nyior yang melambai-lambai ditiup angin laut boleh menjatuhkan seekor monyet jantan yang sedang bergayut di dahan pokok hingga terlena dan akhirnya terjelepuk jatuh ke tanah disebabkan sentuhan angin sepoi-sepoi bahasa yang melenakan amat mengasyikkan.Di sini juga pernah ditempatkan penghuni penjara yang dijatuhkan hukuman 'buang daerah' atas kesalahan gangsterism melanggar undang-undang negara.Kawasan perairan di Pulau ini amat tenang dan menjadi lubuk emas bagi nelayan.Tapi sayang kawasan perairannya itu menjadi tempat larangan.Hanya kakitangan penjara sahaja yang dapat bergerak bebas di sini.Pulau ini dapat dihubungi melalui Batu Maung dan Jeti Gelugor melalui bot-bot penumpang khas yang disediakan yang aku sudah lupa tambangnya.Dari Kota Kinabalu ke Pulau Gaya aku di'perkena'kan tambang sebanyak RM15 seorang untuk pergi-balik.Tambang ke Pulau tersebut tidaklah semahal itu.Pulau Jerjak, namamu masih dalam ingatan walaupun berpuluh tahun aku meninggalkannya tanpa sebarang pesan.

Aku mengenali Nik yang berasal dari Kelantan yang sering berulang alik ke Pulau Jerjak demi ilmu untuk bekalan masa depan.Sejak mengenali Nik semasa kami sama-sama belajar di Han Chiang School Penang pada 1974 aku sering mengikutinya dan bermalam di sini.Nik tinggal bersama kakaknya yang berkahwin dengan seorang Pegawai Penjara yang bertugas di Pulau itu.Nik ada seorang adik bernama Azizah yang tinggal bersamanya di 'quaters Penjara'.Perkenalan aku dengan Azizah bermula di pulau keramat ini.'Cinta monyet' itu tidak pernah dihidu oleh keluarganya walaupun aku sering bermalam bersama Nik di situ.Azizah masih lagi menuntut di Tingkatan Empat sedangkan aku dan Nik di Lower sixth di dalam kelas yang sama.Keindahan pulau ini terserlah di waktu malam bulan mengambang. Kesunyian dan kedinginan angin laut memecah suasana rinduku terhadap adik kesayangan Nik itu.Kilauan air laut yang berkelipan angkara panahan sinaran rambulan dan desiran angin serta ombak pantai yang yang lembut menghempap batu di kala sunyi memecah kerinduanku terhadap gadis itu.Wajah Azizah selembut dendangan lagu 'Azizah' nyanyian Ahmad Jais.


Kini setelah empat puluh tahun berlalu wajah Pulau Jerjak telah berubah seperti berubahnya wajah aku dan wajah Shakir.Wajah Che Li macam dulu tidak berubah tapi badannya sudah pun 'lebar-lebar'.Kawasan sekelilingnya mulai riuh rendah .Kawasan sunyi itu mulai bergelora dengan manusia memadu kasih asmara.Burung-burung camar telah meninggalkan pulau tersebut membawa diri masing-masing.Pulau Jerjak telah dinodai.Zaman IT dan Sains Komputer telah menelan kehidupan alam sekeliling pulau itu.Pulau Jerjak kini menjadi destinasi pelancongan dan tempat peranginan yang mewah.Tambang ke Pulau Jerjak juga tidak semurah dulu.Murah sedikit tambang yang di'pekenakan'aku dan Shakir ke Pulau Gaya.Tiada lagi tahanan atau pesakit kusta yang pernah ditempatkan di sini.Pulau Jerjak berwajah baru.Pulau Jerjak ada Restoran makanan laut,ada chalet,ada hotel dan menjadi tempat pilihan untuk berbulan madu.



Di utara Pulau Jerjak tersergam indahJambatan Pulau Pinang yang panjangnya 13 km.Di selatannya pula sedang dibina jambatan kedua Pulau Pinang yang panjangnya hampir 25km..Pulau Jerjak tidak lagi tidur seperti Empat puluh tahun yang lalu. Arah barat pulau tersebut ialah Pulau Pinang yang dipisahkan oleh laut dan berdiri megah bangunan-bangunan kilang serta gerai-gerai makan di persisiran pantai Pulau Pinang.Empat puluh tahun yang lalu kawasan kilang ini dipenuhi pohon kelapa dan pepohon yang menghijau.Nelayan tua di atas sampan yang sedang dilambung ombak manja dapat dilihat dari Pulau Jerjak.Air laut yang dulunya biru kini telah keruh seperti keruhnya muka Shakir menyiapkan thesis masternya di OUM.



Tiada lagi Azizah di Pulau itu.Tiada lagi 'Puteri Remaja' di pulau itu.Azizah telah pulang ke Kelantan berkahwin dan beranak pinak.Nik telah kembali ke rahmatullah akibat kemalangan jalan raya.Pulau ini telah aku tinggalkan.Pulau ini telah mecatitkan kisah cinta'monyet' gadis dendangan Ahmad Jais.Kini aku kembali lagi ke sini.Keindahan pulau itu telah hilang ditelan pembangunan yang tidak tahu erti kedamaian.Aku ingin kembali semula ke alam remaja berumur belasan tahun yang selalu merindui Azizah tika itu.Aku ingin melupakan waktu-waktu ini yang sedang dimamah usia tua untuk kembali ke alam remaja.Masa dulu-dulu.Masa yang lepas tidak akan kembali lagi.Aku menangis mengenangkan pulau yang telah kutinggalkan.

1 comment:

  1. Pulau Jerjak suatu masa dahulu ialah tempat hitam.Di sini pesakit kusta ditempatkan dan banduan.Semuanya telah tiada. Kini Pulau Jerjak mejadi tempat pelancongan yang cukup indah.

    ReplyDelete