Our Chat Room

Tuesday, April 27, 2010

DIA GURU BAHASA INGGERIS AKU

Dia mengajar aku Bahasa Inggeris.
Dia berasal daripada Amerika Syarikat.
Sekarang masih mengajar di Los Angeles
Umurnya sekarang 68 tahun
Dia mengajar aku semasa darjah empat.
Dan sekali semasa aku 'standard five'
Aku bersekolah di Kepala Batas Primary School,Kepala Batas,Pulau Pinang.
Kata rakannya,Jean Custer,"Wom,Priscilla. I see one of your Malaysian students found you
Oh! the power of the internet".
Berdiri di tengah Priscilla Garcia
Oleh Shakir Md Taha

Monday, April 26, 2010

CATATAN SEPANJANG MINGGU INI


Cuaca panas
Kadang-kadang hujan petang.
Ada waktu panas membakar hingga petang.
Penjual air tebu senyum girang
Penjual cendul cepat tutup kedai awal.

Pagi itu penjual daging kambing pulang awal.
Baru pukul 10.00 pagi penjual daging bernama Md Noor sudah tutup gerainya
Dia menelefon aku minta datang awal sedikit.
Biasanya pukul 10.30 pagi baru Aku ke tempat dia.
Daging sudah habis dijual."Saya tunggu Cikgu saja",katanya dengan penuh senyum.

Malamnya Salim England telefon.
Sembang panjang juga.
Dia sibuk dengan urusan perniagaannya.
Kerap mesyuarat.

Petangnya terima SMS daripada Mamsin
Beliau Ketua Jabatan IT.
Selalu sibuk.
Terbang sana,
Terbang sini.
SMSnya "free malam ni kita jumpa".
Aku 'call' Non(Zainal Abidin ). Ok. Line clear.
"Nanti aku call Malik"
Telefon berdering.
Ok ke?
Ok, Auto City.

Malamnya ke Auto-City
Malam di sini macam tidak tidur.
Ada yang datang dengan laptop dan notebook.
Ada yang menghabiskan sebahagian malamnya di sini.
Makan nasi kandar di waktu dinihari.

Besoknya Zainal muncul dalam facebook
Bertanya khabar semalam balik pukul berapa.
Malik membalas ya waktu dinihari baru pulang.
Di situ Mamsin memperturunkan ilmu IT.
Yang dapat,dapatlah.

Malam bertambah malam.
Air ditambah,
Air diminum.
Kopi pahit menguasai diri.
Pulang bertemankan kopi pahit.
Jalan sunyi sepi.
Tiada kereta rosak di tepi jalan.

Catatan Shakir Md Taha.

Sunday, April 25, 2010

SUATU PETANG DI MAKTAB GAYA - 1979

Logo ini menyimpan seribu kenangan tentang kehidupan di Maktab Gaya.
Tentang pensyarahnya
Tentang makanan yang dimakan.
Tentang aktiviti kokurikulum
Aktiviti padang yang selalu aku tak turun.
Waktu kuliah.
Ada waktu ponteng kuliah
Dan ponteng kuliah ada kaitannya dengan ubat batuk.
Tentang pelajarnya yang terdiri daripada pelbagai kaum yang mimpinya lain.

Aku masih ingat lagi disuatu petang.
Kuliah belum bermula.
Aku berada di koridor.
Menikmati pemandangan hidangan Tuhan.
Ada rakan kelas yang sudah masuk kelas.
Ada yang datang berpasangan.
Tiba-tiba aku disapa oleh gadis Kadazan Ranau.
Gadis manis ini berbaju kurung putih,berkain hitam.
Tidak bertuduh.
Khabarnya(waktu itu) 'vakansi'.

Katanya ketika berhadapan dengan Aku,"Senyumpun mahal".
Aku tidak berkata apa-apa.
Hanya memandang sahaja.
Dia kemudiannya terus masuk ke kelas
Aku hanya mengekorinya dengan ekor mata.
Dan aku tidak pernah berbicara dengannya selepas itu.

Aku hanya berbicara dengannya selepas 30tahun.
Beliau sudahpun menjadi Pengetua yang cukup rajin dan aktif.


Sekian seadanya

Oleh Shakir Md Taha

Wednesday, April 21, 2010

Surat Di Pinggir Senja

Sungai Padas
Pekan Tenom

Salam Sahabatku Yang Jauh Dimata
Dekat dihati.

Maaf kerana tidak dapat menunaikan janji seperti yang dijanjikan.
Pun begitu aku tetap menunaikan janjiku,seperti lagu guru Malaysia yang kita dendangkan semasa 2 tahun didewan mpg "tunai tetap kita tunaikan"
Aku fikir kau masih tidak lupa dengan lirik lagu itu.

Sejak dua tiga hari ini cuaca tidak menentu.
Musim kemarau sudah berakhir.
Rumput tidak lagi kekuningan.
Air sungai tidak lagi keruh.

Aku cukup arif musim kemarau di Sabah.
Sungai Padas di Tenom airnya mengalir lesu
Air terpaksa dicatu.
Masuk bulan yang ke-empat kami masyarakat Islam di Tenom buat solat minta hujan,
Kami buat di padang Pekan Tenom.
Alhamdulilah esoknya hujan turun tapi tidak lebat.
Cukuplah untuk tumbuhan senyum kembali.
Tanah di huma tidak lagi gersang.
Air tidak lagi dicatu.

Hujung minggu Aku ke Kemabong lagi setelah sekian lama terlantar di Tenom.
Daerah ini masih kaya dengan kedamaian.
Kaya dengan budi bahasa
Kaya dengan pohon-pohon hijau
Kaya dengan kesunyian malam.

Aku sentiasa mengharapkan tempat ini tidak dibunuh oleh manusia yang rakus.
Semoga pohon-pohon terus bertasbih
Burung-burung berterbangan riang ria.


Salam

Shakir Md Taha

Tuesday, April 20, 2010

SIAPA DAN DI MANA

Puteri-puteri Maktab Perguruan Gaya dalam perjalanan ke lapang terbang Kota Kinabalu menyambut ketibaan DYM Sultan Selangor. Duduk di hadapan sekali,Hartini Salikan. Sekarang tinggal di Ranau dan berkahwin dengan Sapili(senior 78/79). Hartini kini sebagai Penolong Kanan di SK Narawang,Ranau.Sabah.

Sunday, April 18, 2010

Kawanku Dari Pekan Kecil Melalap




Pekan Kecil Melalap di terletak residensi pedalaman Sabah. Pekan yang terdekat dengannya Tenom.Kalau tak silap Aku jaraknya dari Melalap ke Tenom kira-kira15 km.




Di sinilah kawan Aku tinggal bersama dengan isterinya Kamariah. Pasangan ini belum lagi dikurniakan cahayamata semasa Aku berada di Sabah.


Beliau cukup peramah. Demikian juga dengan isterinya. Aku kalau tidak ke rumah Wak Karta, kalau tidak ke Kota Kinabalu,kalau tidak ke Kemabong,kalau tidak ke airjun Kalang maka rumahnyalah menjadi sasaran.





Hampir setiap hari minggu Ustaz ini akan turun ke Pekan Tenom. Hari minggu ada "Tamu".

Dia pasti membeli banyak barang dapur pada hari itu.


Aku bila pergi ke rumah Ustaz Zainal selalu pergi dengan Cikgu Zakaria,Cikgu Muhammad(Allahyarham semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya) dan Cikgu Talib.

Dan kadang-kadang Cikgu Napiah Mat(sekarang Pengetua di SMK Saujana Indah,Pulau Pinang)juga turut pergi sama.
Bila kami ke rumah tiada siapa dibenarkan pulang sebelum makan tenghari. Ini satu kesemestian. Hidang tengahari ayam masak cili api. Ayam peliharaan Ustaz. Dia sendiri yang sembelih ayam itu. Ada ulam dan pucuk ubi rebus. Ada sambal belacan.

Suatu petang,kalau tak silap petang Jumaat. Beliau datang ke kuates Aku.
Salam disambut.
Kata bersahut.
"Cikgu Shakir ada dirumah".
"Ada,masuklah."
"Saya nak minta tolong Cikgu Shakir belikan tiket balik ke Semenanjung." katanya dengan penuh harapan.
"Mana Cikgu Shakir?
"Tidur di atas,kejap lagi bangunlah dia".
Kuates kami ada tiga bilik.
Bawah satu bilik.Agak sempit.
Tingkat atas ada 2 bilik.
Aku nampak diraut wajahnya terlukis keresahan yang amat sangat.
Sengaja Aku membiarkan keresahan itu merebak

"Cikgu Shakir belum bangun lagi".
"Sekejap lagi Asar bangunlah dia.
Ustaz kita solat dahulu."

Kami solat bersama.
"Saya nak naik atas jumpaCikgu Shakir"
"Tak payahUstaz."
"Sayalah yang Ustaz cari tu............."
"INIIII, Cikgu Sha...
"Sayalah"
Kami ketawa besar.

Oleh Shakir Md Taha

Saturday, April 17, 2010

WHO CAN GUESS WHAT EVENT IS THIS



Ada sapa-sapa ingat ini event apa, ramai yg pakai rosette.....

Monday, April 12, 2010

GADIS PUJAAN DARI SARDINIA



Pagi itu aku menghadiri kelas Linguistics yang diajar oleh Dr.Charles.Beliau adalah seorang pakar ilmu Linguistics.Aku masih ingat beberapa perkataan yang terbentuk menjadi objek seperti LOOk menjadi mata dan tall menjadi tinggi.Lecture hall penuh sesak tika itu.Dr.Charles bijak berbicara dan berhujah membuatkan semua pelajar terpegun penuh minat.


Tatkala itu tiba-tiba muncul seorang gadis berambut perang dan bermata biru sambil menghempapkan punggungnya di atas kerusi disebelahku.Dia agak kelewatan pagi itu.Sambil termengah-mengah dia menyapa’Hello’ kepadaku. Aku sudah biasa dan sebelum ini pun ramai minah yang berambut perang duduk disebelahku .Masing-masing memberikan tumpuan sepenuhnya pada lecture di hari itu. Di lecture hall terdapat lebih 80pelajar sedang mendengar dan aku perlu tumpukan perhatian kerana subjek ini sukar difahami dan lebih-lebih lagi aku tidak minat.Membosankan.


Apabila tamatnya lecture pada pagi itu perut mulai berkeroncong dan terasa lapar.Aku lebih suka ke café yang terletak di cartmel college kerana aku suka menghirup English tea dan scorn . Ramai pun yang suka makan dan minum di tempat itu.Aku tinggal di Bowland Tower.hanya beberapa minit saja berjalan ke café tersebut .S edang aku menikmati makanan itu tiba-tiba muncul gadis yang sama yang pernah duduk sebelahku tadi. Aku menyapa dan kami minum bersama serta berbual mesra. Di sebelahku terdapat seorang’ pak cik tua sedang‘duduk sambil berbual bersama buah hatinya yang cantik jelita sambil ketawa terkekeh-kekeh macam itik jantan buru itik betina……seronok!


Beginilah suasana di kampus di sini. Pelajar-pelajar tempatan di sini lebih suka mengenali atau bermesra dengan pelajar-pelajar luar Negara seperti aku..Dua puluh tahun yang lalu Malaysia terkenal sebagai Negara yang kaya dikalangan orang Barat Ini diakui oleh beberapa orang pegawai imigresen sewaktu pertama kali aku menjejak kaki di Heathrow Airport sekitar tahun 1988. Selepas kejadian ngeri September 11 pada tahun 2001 masyarakat barat mula memandang negatif terhadap orang Islam. Semasa kejadian September 11 aku menetap di Portsmouth. Pada masa itu aku terpaksa mengubah identity supaya tidak dikenali.Aku dapat bergaul mesra dengan masyarakat tempatan dan di sinilah tempat aku mencari rezeki.


Kami berbual begitu mesra seperti sepasang kekasih. Bukan. Bukan kekasih hanya kawan biasa.. Dia bercerita tentang dirinya yang pernah menetap di Singapura selama beberapa tahun mengikut bapanya bekerja di s ebuah firma antarabangsa di sana. Selepas kematian ibunya akibat kanser mereka sekeluarga pulang ke negara asal.Dia pernah ke Penang tempat asalku.Dia Suka nasi kandar dan satay.Orangnya cukup lembut dan bersopan santun bila berbicara.Sesekali dia melemparkan senyuman yang manis.kepadaku.Semasa di sini aku lebih rapat dengan masyarakat tempatan daripada rakan senegaraku. Aku selalu ke café dan ke Pub ditemani Peter,Albert,Suzy,Lena dan beberapa kenalan lagi..Kadang-kadang aku bersama SH………..(kini bertugas di Bukit Aman ). Sejak itu aku mula rapat dengan dia.


Barbara seorang penganut agama Roman Katholik dan dia gemar mengkaji Al-Quran yang dipelajari daripada seorang professor bidang Islamic studies disebuah University di sini. Professor itu bukan beragama.Dia juga menceritakan kepadaku bahawa apa yang terdapat di dalamAl-Quran juga diceritakan di dalam Bible..Aku tidak pasti sebab aku bukan pengkaji kitab Bible.Semasa bulan Ramadan dia menghormati bulan tersebut tanpa makan atau minum di depanku.Aku pernah menghadiahkannya sepasang baju kurung yang dikirim oleh adikku . Perhubungan aku dengan dia hanya sekadar kawan biasa sahaja Aku amat menghormatiny a sebagai seorang gadis barat yang bersopan santun.


Apabila cuti summer bermula ramai pelajar tempatan mula meninggalkan asrama.Begitu juga dengan pelajar luar Negara.Masing-masing membuat persiapan menghadapi musim cuti.Destinasi ke Eropah menjadi tumpuan utama kerana’ young person travelcard ‘offers 180pounds sahaja menjelajah ke seluruh Eropa h menaiki Eurorail....k ecuali beberapa negar Eropah Timur yang dilarang masuk disebabkan corak pemerintahan komunis sepert I Yugoslavia.


Aku bercadang tidak akan pulang pada musim summer kerana banyak pekerjaan yang boleh aku lakukan untuk mendapatkan wang saku . Aku pernah bekerja di RestoranMc Donald dan di ladang strawberry pada musim cuti semester .Dalam masa tiga bulan tersebut dapatlah aku mengumpul wang sebelum sesi pegajian tahun akhir bermula.Aku akan beli jacket kulit dan kasut Reebok.Aku gemar pakai kasut berjenama Reebok.Made in UK.


Selepas seminggu cuti semester bermula aku mula bekerja di sebuah restoran Mc Donald yang terletak di Bandar Preston.Bayaran sejam yang aku terima ialah 3.50pounds dan selepas jam 7malam ditamah 25 pence.Tugasku ialah menggoreng burger..ada beef ada chicken ada..bacon….makan burger kena bismillah( kata Br..Arab pada ku sebab tak sembelih)..balik samak sebab pegang bacon katanya .Faham-fahamlah hidup ditempat begini dan terlalu sukar mengikut cara yang betul..Selepas jam 12malam barulah kerja selesai.Sebuah teksi akan membawa aku pulang ke rumah sewa.Letih.


Keesokan harinya aku terima sekeping poskad yang dikirimkan dari Sardinia Italy. Aku membaca kandungan poskad tersebut yang mengajak aku ke Sardinia Di akhir ungkapan tertulis …I Miss You. …Barbara..Petang itu aku tidak ke tempat kerja.Dengan sedikit wang simpanan yang ada cukup untuk membeli tiket dengan menggunakan Eurail pass yang melayakkan aku menjelajah ke seluruh Eropah dalam masa 30hari


Barbara…. gadis yang pernah sama-sama menuntuk di bidang Linguistics berasal dari Sardinia sebuah pulau peranginan yang terletak di barat Italy...Untuk ke Sardinia beberapa perkhidmatan ferry disediakan.Salah satunya ialah Fiumicina Ferry yang membawa penumpang ke Sardinia melalui Pelabuhan Fiumicino, Italy lebih kurang 20 batu dari Bandaraya Rome. Jarak dari Italy ke Sardinia ialah 198km Kita juga boleh menaiki feri melalui Pelabuhan Genoa dan Naples merentasi laut yang memisahkan Negara Italy dan Pulau Sardinia..


Perjalanan ke Sardinia terlalu jauh. Untuk sampai ke sana aku perlu menaiki train ke Belgium memasuki Germany, Austria menuju ke Slovenia dan akhirnya sampai di Rome, Italy. Ataupun melalui France ke Rome Italy yang jaraknya 896batu.


. Aku perlu memikirkan jalan yang mudah untuk sampai ke sana.Bagaimanakah aku dapat mengurangkan perbelanjaan .Bagi seorang pelajar yang miskin macam aku jalan yang paling murah dilakukan ialah tidur di atas train disepanjang perjalanan. Aku tidak mampu menyewa bilik hotel di beberapa Bandar di Eropah.Aku juga tidak perlu fikir untuk menjamah makanan yang lazat-lazat sekadar snacks,bun atau sanwich sahaja..Eurail lines menghubungi seluruh Negara Eropah.Aku perlu pastikan masa berlepas dan dan connecting train untuk memudahkan perjalanan. Aku tidak perlu fikirkantentang masa atau berapa lama aku akan sampai ke sana.


Aku menaiki euroline menuju ke Belgium.Dari Brussel, Belgium aku menaiki eurorail railways melintasi Germany. Keretapi akan singgah di beberapa station utama yang aku sudah lupa.Semasa di Belgium aku dapat lihat pemandangan ladang lembu dan biri-biri yang luas terbentang Peladang di sini menggunakan peralatan moden.Hasil pengeluarannya juga bertambah .Belgium adalah pengekspot keju dan daging lembu yang terbesar.. Deretan rumah-rumah batu berbentuk cottage ditengah ladang yang menghijau sayup mata memandang.Sesekali dapat di lihat ladang apple dan strawberries. Kita boleh lihat ladang gandum yang menguning di sepanjang landasan keretapi. Ladang-ladang Khinzir juga dapat dilihat dengan meluas.Saiz khinzir seperti seekor anak lembu.Apabila memasukki Germany kita akan lihat banyak kilang-kilang keluli .Kita boleh lihat sungai Rhines iaitu sungai yang mengalir merentasi beberapa negara Eropah. Deretan rumah-rumah batu lama masih kekal.dengan reka an bentuk lama.Aku banyak menghabiskan masa di dalamkeretapi. Ake lebih suka melemparkan pandangan di luar jendela keretapi sambil merakamkan pemandangan menggunakan kemera usang yang aku beli dgn harga RM100..


Keretapi berhenti di beberapa station untuk mengangkut penumpang.Aku hanya singgah sekejap untuk mendapatkan bekalan makanan seperti French bread dan tuna atau sardine di café di train station .Apabila badan terasa lesu ,panas dan tidak selesa aku melompat keluar dari perut keretapi menuju ke tandas awam yang dilengkapi dengan bilik mandi yang amat bersih Pengalaman yang aku lalui ialah melihat nilai-nilai kehidupan masyarakat barat yang pentingkan kebersihan.Bagi mereka.’.Kita adalah kebersihan’ ..dan kebersihan adalah kita’.


BERSAMBUNG BAHAGIAN KE 2


Singgah diFrankfurt, Germany………


Pemandangan indah di Austria……


Sunday, April 11, 2010

Lima Tahun DI SMJK Chung Hwa(1981-1985)



SMJK Chung Hwa sekolah pertama aku mengajar selepas keluar maktab.

Bangunannya di buat daripada batu dan kayu. Bilangan pelajarnya kira 500 orang.
Semasa aku mula mengajar pengetua SMJK Chung Hwa bernama Mr.Chong. Dia tinggal di kuates seorang diri. Kuates cukup dekat dengan sekolah.Berjalan sepuluh langkah sampailah ke sekolah. Keluarganya di Kota Kinbalu
Setiap hari Jumaat dia ke Kota Kinabalu
Aku masih ingat lagi Mr.Chong datang ke rumah.
Bayar gaji.Aku tinggal di rumah sewa bersama dengan Yusof Maulut.
Mengajar bulan Januari.
Bulan Februari dah dapat gaji.
Ini semua kerja pengetua,Mr.Chong.
Bab gaji dia cukup ambil berat
Dia tidak lama di SMJK Chung Hwa kerana dilantik ke baru jawatan di Jabatan Pelajaran Sabah.
Selepas itu Mr.Bernard Chew memangku jawatan ini.
Beliau ada kebun buah-buahan.
Hujung minggu selalu juga dia ajak pergi ke kebun limaunya.
Selalunya Aku pergi dengan Cikgu Zulkifli Tahir,orang Trengganu yang sekarang menetap di Selangor.
Lebih kurang 1 tahun kami dapat pengetua baru.
Seorang perempuan.Puan Chiam Mei Yem namanya.
Sebelum itu beliau menjadi pengetua SMJK St Anthony.
Puan Chiam sangat baiknya orang.Mudah berkira.
Cukup ambil berat soal prestasi murid.
Murid gagal dalam matapelajaran yang dipanggil ke bilik.
Ditanya sebab-sebab gagal.
Ya,Puan Chiam baik orangnya dan mudah dibawa berbincang.
Aku masih ingat lagi ketika hendak balik Semenanjung.
Wang tidak cukup.
Aku jumpa dia dibilik pengetua.
"Petang ni pukul 4 Cikgu pergi ke kedai saya. Berapa ribu Cikgu nak guna"
Aku tergamam dengan soalan itu. Aku nak guna ratus sahaja.Dia tanya ribu.
Dia memang kaya. Ada kebun koko entah berapa beratus ekar. Kebun buah-buahan lagi.
SMJK Chung Hwa punya Jemaah Pengelola Sekolah.
Diketuai oleh Mr.Wong Jit Min.
Beliau cukup perhatian dengan perkembangan sekolah dan prestasi pelajar.
Setiap kali ada kejayaan yang diraih oleh sekolah pasti ada jamuan untuk guru.
Pendek kata sebarang prestasi yang melonjakkan nama sekolah ganjarannya jamuan makan.
Guru-guru yang pulang ke Semenanjung diraikan dengan penuh sungguh.
Suatu kenangan yang cukup manis mengajar di sini.
Suatu kenangan yang sukar dilupakan
Jasa guru cukup dihargai.
Rasanya baru kelmarin Aku mengajar di SMJK Chung Hwa.
Rupanya sudah 30 tahun berlalu!

Saturday, April 10, 2010

Salim Ketunggap Era 80 an


Salim berdiri dibelakang.
Wajahnya lembut sayu
Wajahnya wajah 80an
Kata Dr.Kent dari wajah seseorang dapat kita baca gelora yang ada dalam diri.
Demkian juga kata ahli firasat.
Di sebelah Salim,Hazali Hassan.
Mamat ini orang Muar,Johor.
Di MPG dialah orang kuat St.John.
Dari kiri 1.Annie Lohok(IS) 2.Rasinam Muntu(PMIA) 3.LasimiDurod(PIS) 4.Nusiah Matine(PIS) 5.Edana Subal(PIS)
Edana Subal, gadis Kadazan yang lembut lunak suaranya.
Lasimi Durod punya macam penyanyi opera.
Nusiah anak kelahiran Sandakan.
Kecil comel orangnya.
Annie Lohok tidak pernah lokek dengan senyuman.
Rasinam Muntu pendiam orangnya.
Dilagukan orang.
Anak punai,anak merebah,
Anak sunyai lagikan berubah.
Inikan pula orang.
Catatan zaman 80 an
Itulah seadanya.

Seorang Johor dan Seorang Mengaku Johor

SMK Pamol







Gambar ini dirakam pada tahun 80an

Kedua-duanya guru pelatih opsyen Ilmu Hisab 79/80.

Gambar di sebelah kiri Abd Halim A.Wahab,memang orang Johor.

Orang Muar.

Sekarang menjadi PK1 di SMK Pamol,Beluran,Sabah.

Kata A.Halim sekolah di dalam estet.

A.Halim berkahwin Noraisiah Hj Md Kaji orang Keningau,Sabah.



Mat disebelah kanan itu Yusof Maulut.

Orang Perak.

Dia ditempat di SMJK Chung Hwa,Tenom selepas tamat pengajian di kolej.

Opsyen Ilmu Hisab yang juga kawan baik Abd.Halim.

Berkahwin dengan Aminah orang sekampungnya.Aminah opsyen perdagangan.

Tuan Yusof Maulut sekarang boleh ditemui di Putra Jaya.

Di bahagian pendidikan khas.


Yusof Maulut dah terima menantu dan khabarnya dah menerima cucu.


Junior Kami


Mereka ini adalah junior kami.
Tahun 80/81
Addanan Tan yang kanan sekali masih di Labuan.
Katanya selalu turun.
Masih selesa tinggal.
Tenang dan damai kata.
Tengah Rasdi.
Sekarang menjadi pensyarah di Institut Perguruan(Pahang)
Berdiri di kanan sekali Ustaz Wahid
Sekarang mengajar di Sungai Besar,Selangor.
Berdiridi kiri Nasir.

Friday, April 9, 2010

Zaman remaja


Kita dipertemukan diawal 20an semasa masih remaja.Kita keluar dari dunia yang sempit menuju ke negeri di bawah bayu...sabah.Disinilah kita dipertemukan menjalin cinta dan kasih sayang hingga ke anak cucu.Kita menjadi penghuni asrama gaya college di dalam sebuah bilik yang dikongsi bersama 4-6 orang. Kita hidup miskin tika itu dengan elaun RM40 sebulan sekadar cukup untuk membeli beberapa kotak rokok.Selepas 30 tahun semuanya telah berubah.Semuanya yang kita miliki menjadi besar...rumah besar,pangkat besar,kereta besar,badan besar(gemuk)..perut besar(buncit)..dan sbgnya.Hakikatnya kita tetap sama saja.

Alangkah indahnya di awal remaja hubungan siratulrahim cukup mesra dan terlalu indah untuk dikenangkan.Tapi kini semuanya telah terpisah jauh.Tanggungjawab sebagai suami isteri, datuk dan nenek serta tugas masing-masing telah membuatkan kita terpisah terlalu jauh.Kita tenggelam dengan usia yang tidak mengenal siapa.Akhirnya semuanya akan lenyap begitu saja menemui illahi.


semoga wujudnya blog ini dapat kita merapatkan kembali sahabat setia bukan kawan setia dan dapat berkongsi bersama pengalaman pahit manis menjadi guru,rumahtangga,kematian yang pernah kita alami Cerita yang pernah dipaparkan bukan untuk bermegah-megah tetapi sebagai sejarah hidup masa silam yang penuh suka duka yang ditempuhi oleh semua insan di dunia ini.


Kita adalah GURU SEJARAH….Kita tulis tentang SEJARAH . Kata pepatah…Yang baik jadikan teladan ,yang buruk jadikan sempadan. Kisah akan datang yang akan saya tuliskan bertajuk Gadis pujaan dari SARDINIA. Selamat membaca………

Thursday, April 8, 2010

Semalam di Kemabong,Sabah




Aku pernah ke Kemabong pada tahun 82,83,84,85
Kemabong kawasan itu kaya dengan kesunyian.
Pada masa itu sekolahnya diperbuat daripada kayu.
Seingat aku guru di situ cukup dedikasi.
Aku masih ingat nama-nama seperti Abdul Aziz dari Kelantan,Nazri,Tarmizi
Tarman(pemangktu pengetua) Cikgu Azmi dan Wak dari Seangor.
Di situ ada rumah guru.
Di belakang rumah ada sungai kecil
Airnya mengalir lesu.
Tapi cukuplah buat mandi.
Aku cukup suka mandi di situ.
Air minum air hujan yang ditadah dan disimpan di dalam tangki.
Ikan laut jarang ada.
Kecualilah kalau turun ke Tenom ataupun kawan-kawan yang bawa dari Tenom.
Kalau tidak kami makan 'ikan' cap ayamlah dan ikan masin.
Tidak ada letrik pada masa itu.
Kemabong kaya dengan pohon-pohon hijau.
Waktu malam Kemabong kaya dengan kesunyian.
Sekali-sekalaWak memecahkan kesunyian malam dengan seruling tuanya.
Malam di Kemabong sentiasa muda bagi kami.
Berbual dan bercerita sampai pagi.
Di sini malamnya penuh dengan nyanyian sang unggas.
Ada bukit yang sentiasa senyum menghijau.
Sekali sekala dapat makan beras huma.
Beras huma,mudah dimasak.
Wangi,
Sedap dimakan,
Lazat rasanya.
Sebelum ke SMK Kemabong biasanya aku singgah di rumah Wak Karta.
Bermalam di situ dan makan malam di rumah Wak Karta yang dibuat daripada pelupuh.
Rumah Wak Karta terletak di tengah sawah padi.
Wak Karta tinggal bersama isterinya.
Khabarnya Wak tidak mempunyai ada. Aku tidak pasti.
Wak Karta selalu ke hutan mencari akar kayu.
Kampung Jelingan Mata, di situlah Wak Karta tinggal.
Nama kampung itu Wak Karta yang namakan.
Jirannya berasal dari Kalimantan.
Sarapan pagi biasanya kopi tumbuk dan ubi rebus.
Wak Karta yang buat kopi tumbuk ini.
Cukup sedap dan lazat.
Ubi dipungut dikebun.
Kalau makan tenghari pastinya Wak akan korbankan ayam kampungnya.
Wak Karta cukup berbesar hati pada tamunya.
Dan akupun cukup senang hati singgah dan bermalam di rumah Wak Karta.

Wednesday, April 7, 2010

SMJK Chung Hwa,Tenom,Sabah




Sekolah dan Keretapi di Tenom.
Di sini keretapi sering disebut sebagai " enjin"
Jalannya tidaklah laju.
Tapi tidaklah sampai sejam sebatu.
Keretapi sebagai pengangkutan utama dewasa itu.
Aku sering naik keretapi ke Beaufort.
Dari Beaufort naik teksi ke Kota Kinabalu.
Boleh juga terus ke Kota Kinabalu dengan keretapi.
Tapi lambat sangat sampai ke Kota Kinabalu.
Kalau bertolak dengan keretapi biasa dari Tenom ke Kota Kinabalu petang baru sampai.
Kira-kira jam 5 petang baru sampai.
Sampai di Kota Kinabalu tidak perlu menginap di hotel.
Rumah Salim ada.
Rumah Badaruddin ada
Rumah Samsudin
Tapi aku kerap tinggal di tempat tinggal Khairunei Ali.
Waktu itu beliau seorang wartawan.
Sekarang pemilik Mingguan Perdana.
Malam di Kota Kinabalu cukup tenang dan damai,
Tiap malam ada pasar malam.
Pelacur murahan dan pondan sering berkeliaran di Padang Bandaran Kota Kinabalu
Tapi tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap mereka.
Di Pekan Kota Kinabalu ada masjid.
Masjid itu dipanggil Masjid SDA.
Asalnya gereja.
Terletak di atas Bukit.
Ramai juga orang bersolat di sini.
Di sini tenang.
Sekali sekala ' terserempak' dengan pejuang Moro.
Dia boleh berbicara dalam Bahasa Inggeris.
Biasanya Aku bertolak ke Tenom dengan menaiki keretapi dari Beaufort.
Petangnya sampai ke Tenom.
Aku mengajar di SMJKChung Hwa dari tahun 1981-1985.
Mengajar di sini cukup menarik
Bila keputusan peperiksaan melunjak Jemaah Pengelola Sekolah pasti buat jamuan'makan besar'
Bilangan pelajar-pelajar kira-kira 450 orang.
Ada pelajar Cina
Ada pelajar Murut,
Ada pelajar Kadazan
Dan dua tiga orang Bajau.

Gambar Lama Hanya Disiarkan Bila.......


Gambar lama sukar aku siarkan sekarang.
Banyak keranah.
Ada yang tak benarkan siar.
Aku tak siarlah.
Ada yang minta delete.
Aku delete.
Aku kena minta izin.
Lambat jawab,lambatlah aku siar.
Aku buat kerja sukarela
Mamsin buat kerja sukarela.
Salim Ketunggap buat kerja sukarela.
Tidak ada siapa yang sponsor kami
Kami buat atas niatulillahita'ala.
Tanyalah Mamsin
Tanyalah Salim England
Kami hanyalah sebagai wasilah.
Sekadar penyambung silatulrahim yang telah gerhana sekian lama.
Itulah kami pinta
Sejak dahulu lagi.
Hasil perbincangan Aku dengan Mamsin.
Mamsin mencadangkan buat blog yang ada sekarang ini.
Itu saja.
Cukuplah Allah sebagai pemberi rezeki.

Sunday, April 4, 2010

Mohd Shah Atong


Aku hampir-hampir lupa kepada nama ini dan orang ini.
Beliau pernah menjadi Yang Dipertua MPG pada tahun 79.
Setahu aku beliau tidak banyak berbicara.
Tinggi orangnya.
Berkahwin dengan Mariamah Kuntum.
Itulah yang aku tahu tentang Mohd Shah Atong.

Friday, April 2, 2010

AL-FATIHAH- BUAT DIN BERAMBOI


Din Beramboi telah pergi menemui Penciptanya.
Pergi buat selama-lamanya.
Kelmarin dia membuatkan kita ketawa.
Hari ini sudah tiada.
Al- Fatihah.

Thursday, April 1, 2010

Til,Til,Til,Mare Hati

Bukan apa-apa ni. Kerja part-time. Sekadar suka-suka aje