Our Chat Room

Tuesday, September 28, 2010

John Travolta@Khalid Zaharin Sudah Dapat Dikesan Jejaknya


Tuan Zainal,Nana Mamsin,Tuan Zahari dan Tuan Salim Ketunggap,Khalid Zaharin sudah dapat dikesan. Dia berada di Semerah Johor. Dengan nada seadanya,"Aku baru jumpa blog ni dan Aku tak pandai komputer." Mamsin kata Khalid Zaharin bunyi sama dengan Khalid Ibrahim. Khalid Ibrahim ex-PNB. Khalid Zaharin pula ex-MPG. Aku kena tuntut sedikit hadiah daripada Tuan Zainal@Mat Robert.

Tapi gambar terbaru Tengku@John Travolta (TerNOW) belum Aku dapat. InsyaLlah bila dapat Aku siarkan.

Sunday, September 26, 2010

Fasa-fasa Perjalanan Kita Setelah Mati.

Bukan hendak menakutkan, cuma sekadar memberi peringatan dan supaya kita bersedia. Rajah ini aku perolehi semasa melayari internet dan kiriman sahabat FB. Olehkerana usia memanjat tinggi dan jauh ke dalam, aku rasa eloklah kita renungkan sejenak, setelah saudara Ngapah, Ghani dan ramai lagi yg kita belum tahu samada mereka masih bersama kita atau sudah memulakan perjalanan tersebut.
Seperti saudara Azmi Tongod yg berjaya pembedahan jantung bypass, seperti Raja yg melepasi masa2 sukar ketika strok, seperti Sedan Rashid ( junior PMIA ) yg terlibat dalam kemalangan jalanraya, seperti Razak Hijaz ( seniur PG ) yg sedang berusaha keras dari strokknya, seperti ramai lagi yg kita tidak tahu coretan pengalaman hidup mereka setelah tamat Gaya College dulu.
Aku sendiri terlantar di Hospital Dutchess of Kent Sandakan setelah pengsan 2 malam dek gara2 aksiden dengan motor Amir ( selepas itu aku kawin, takut rugi ).
Salam ikhlas dari ku utk sahabat yg amat ku sayangi ! Jaga2 Non .!

Mohd Khalid Zaharin,Masih Aku Ingat Orangnya


Masih Aku ingat orangnya. Dia tidaklah bertubuh besar. Rambutnya berombak. Mudah memberi senyum. Suaranya lantang tapi tidaklah selantang Salmah Tawau.Kalau tak percaya tanya Tuan Zahari Manan.Tanyalah Mat Robert. Orangnya setahu Aku cukup berminat dengan hoki. Itu semua 30 tahun dahulu. Mr. Robert kata Khalid pernah tinggal di Kuala Lumpur. Dan menurut Saudara Shamsudin Nahar,Khalid khabarnya berada di Negeri Sembilan.

Mencari Khalid terlalu payah. Di facebookpun tiada. Salim Ketunggap yang 'menghilangkan' 11 tahun di England sudah kembali.

Khalid satu opsyen dengan Mat Robert,perdagangan. Sama dengan Allahyarham Taha Abu Bakar.Tapi Aku pasti Khalid tidak 'bersembunyi' ataupun 'disembunyikan'. Dia masih ada. Dia ada melayari blogpis dan memberi komen di bawah tajuk Minggu Orientasi. Kita bertemu kembali Tuan Mohd Khalid Zaharin. Salam.

Saturday, September 25, 2010

Nota Buat Salim Ketunggap


Salim hari ini Aku dengan Nana Mamsin menerima undangan daripada Non(Zainal Abidin) @ Mr. Mat Robert@ Abang Non. Dia buat jamuan Hari Raya. Macam-macam ada. Macam pasar malam. Ada macam-macam kuih. Tapi Aku dan Mamsin tak makan kuih. Maruka ada. Tapi Aku tak tahu kenapa Mamsin tak makan maruka.

Kami makan nasi briani yang diorder dari Pulau Pinang. Memang sedap, Tuan Salim. Tak percaya tanya Mamsin. Dia dan Aku tergoda tengok briani. Aku dan Mamsin'tibai' 2 pinggan.

Kesian kat Bang Non. Tentu hang nak tanya? Kesiaan,kesiaaan. Pasal apa? Kesiaan. Bang Non dirasuk 'hantu' gout. Jalanpun kesiaaan,kesiaaan. Maaf Salim,Aku tak ambil gambar Bang Non berjalan. Kesiaaan.

Dahlah kaki kena gout. Komputer riba pun sempot-sempot. Mujurlah Tok Pawang komputer ada bersma Aku. Dia yang buka jampi serapah.Puh kiri,poh kanan. Awat To Mo?Non komputer hang sempot sebab tak cukup byte. Kena pakai 2 byte baru baik. Aku mengantuk tengok komputer macam tu. Kesiaan

Selamat Menunaikan Fardhu Haji


Didoakan kawan kita selamat pergi dan kembali dalam rangka menunaikan rukun Islam.
Saudara Badaruddin Khatib(PIS 79/80) akan berangkat ke tanah suci Mekah pada 17 Oktober 2010. Semoga mendapat haji yang mabrur.

Badaruddin sekarang tinggal di Baling dan masih mengajar lagi.

Wednesday, September 22, 2010

NGAPAH MD NOH-AL FATIHAH


Sedang dikasih
Sedang disayang
Kau pergi dalam usia 51 tahun.
Setahun sudah berlalu baru kami mengetahui pemergianmu
Pemergian yang tidak akan kembali.
Kami doakan kau,saudaraku Ngapah Md Noh tergolong dalam golongan orang yang beriman.
Sejahteralah kau di sana.
Aku masih ingat lagi suara merdumu setiap kali membaca Al-Quran
Setiap ada majlis anjuran Persatuan Islam Maktab Gaya,kaulah yang dipilih
membaca ayat-ayat suci.
Aku hanya sempat bersamamu selama 2 tahun di Maktab.
Selepas itu Aku hanya mendengar nama mu.

Hari ini 13 Shawal 1431 Hijrah Aku baru mengetahui kau pergi menghadap yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Al-Fatihah kami hadiahkan buat kau,saudaraku Ngapah.Amin.

Tuesday, September 21, 2010

Rakan-rakan sekalian, kemana kamu semua pergi. Kenapa membisu. Ayuh bah, mari kita bersembang-sembang. Mari kita bincang tentang bermaaf-maafan.

BERMAAF-MAAFAN antara satu sama lain adalah amalan mahmudah (mulia) dan unggul yang dianjurkan oleh Islam. Melalui amalan ini kita dapat mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat, terutama sesama umat Islam.

Amalan bermaaf-maafan ini, terutama ketika menyambut perayaan Aidilfitri dan Aidiladha sudah menjadi sebati dalam jiwa masyarakat Islam di Malaysia. Lazimnya, amalan bermaaf-maafan ini berlaku sesama sanak saudara yang dekat dan jauh, dengan jiran tetangga, sahabat handai dan sebagainya. Secara tidak langsung, dengan wujudnya amalan ini dalam masyarakat Islam, bermakna konsep kembali kepada fitrah dan kebersihan, suci dari pencemaran dosa dan kesilapan dengan Allah SWT dan sesama insan yang ada pada Aidilfitri telah pun terlaksana. Di dalam Islam juga, kemaafan adalah sebahagian daripada sifat Allah yang yang suka mengampunkan dosa hamba-Nya, kecuali mereka yang syirik kepada-Nya.
Namun begitu, ada pula syarat tertentu yang membolehkan Allah mengampunkan dosa hamba-Nya, yakni hamba-Nya yang begitu taat dan patuh serta sentiasa bertaubat kepada-Nya.

Sesungguhnya keutuhan dan kewibawaan konsep kemaafan dalam Islam telah lama terbukti. Malah ia tercatat kemas dalam sejarah Islam.

Misalnya sewaktu Nabi Muhammad SAW menyebarkan syiar Islam, baginda tidak pernah memusuhi atau memarahi wanita Yahudi yang selalu mencaci, meludah dan melemparkan najis kepada baginda ketika setiap kali melalui berdekatan rumah wanita itu.
Dengan sikap kemaafan yang ditunjukkan oleh Rasulullah, wanita itu telah menganut agama Islam.

Ketika peristiwa Fath Makkah (pembukaan Kota Makkah), Rasulullah tidak pernah melakukan pembunuhan walaupun baginda dan rombongannya telah berjaya menguasai Kota Makkah.

Rasulullah juga pernah memaafkan seorang Arab Badwi yang melakukan kesalahan kencing di dalam masjid. Baginda menegah orang ramai daripada mengerumuni dan menghalangnya. Menurut Anas bin Malik, sebaik saja orang itu pergi, Rasulullah SAW meminta sebaldi air, lalu mencurah ke atasnya iaitu membasuhnya.

Sikap mulia Rasulullah yang sentiasa berlapang dada dan suka memaafkan musuh-musuh Islam seperti Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Sufian dan beberapa pemimpin masyarakat Musyrikin Makkah ketika itu, menyebabkan suasana hidup aman damai dapat dipertahankan.

Apabila sifat maaf-memaafkan antara satu sama lain itu diamalkan oleh baginda, hasil dakwah Rasulullah adalah positif. Dengan mengamalkan sikap mulia ini, Islam dapat disebarkan dengan meluas.

Selain itu, ketika Saidina Abu Bakar al-Siddiq terlalu marah terhadap Mistah yang turut menyebarkan cerita fitnah (Kisah Ifki) terhadap anaknya, Aisyah, maka beliau telah bersumpah tidak akan memaafkan Mistah dan akan menghentikan bantuan yang diberikan kepadanya.

Menurut ahli tafsir al-Quran, berikutan peristiwa ini, maka turunlah ayat 22 daripada Surah al-Nur yang bermaksud: “Dan janganlah orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak akan memberi bantuan kepada kaum kerabat, orang yang miskin dan orang yang berhijrah di jalan Allah, hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Berpandukan ayat ini, jelas menunjukkan bahawa manusia yang sedang marah disebabkan oleh perbuatan orang lain yang menyebarkan berita fitnah dan tuduhan palsu seperti yang dihadapi oleh Saidina Abu Bakar dan ahli keluarganya diminta oleh Allah SWT supaya mengambil jalan kemaafan dan berlapang dada terhadapnya.

Sebenarnya sikap ini satu sikap yang mulia dan unggul yang diajarkan oleh agama Islam. Keunggulan dan kemuliaan sikap kemaafan itu, telah meletakkan kemaafan sebagai salah satu sikap penting yang wajar diamalkan dalam kehidupan seharian umat Islam.

Sekiranya sikap bermaaf-maafan ini tersemat rapi dalam diri maka sudah pasti perasaan dendam tidak akan timbul, malahan membuahkan perasaan kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain. Jika diamati dengan betul, perkara ini boleh berlaku dalam kehidupan kita seharian.

Wan Zainuddin Hj Awang
email: zuhanis@tm.net.my
hp: 0198815008

Sunday, September 19, 2010

Erti sebenar Hari Malaysia belum terisi


SAMBUTAN Hari Malaysia pada 16 September, sudah berlalu dan kebetulan berada pada bulan Syawal. Banyak lagi perkara sebenarnya memerlukan renungan bersama berkaitan pengertian Hari Malaysia. Semua tahu apa itu Hari Malaysia dan bagaimana ia dibentuk tanpa perlu lagi kita jelaskan di sini, asalkan seseorang itu rajin membaca.

Bagi generasi muda, mereka tidak perlu ditanya kerana daripada pengetahuan sifar mengenai Hari Malaysia, mereka boleh menulis dan membicarakannya dengan cuma mencari bahan yang berkaitan dalam internet.

Apa yang perlu diberi tumpuan ialah pengisian erti Hari Malaysia itu sendiri kerana masih banyak prasangka buruk, prejudis, salah faham dan semangat kenegerian yang menebal bersarang di hati kita rakyat Malaysia.

Mungkin ada yang diperkatakan di Semenanjung mengenai sesuatu perkara itu tidak menimbulkan sebarang masalah tetapi agak sensitif bagi masyarakat di Sarawak dan Sabah, dan begitu juga sebaliknya.

Contohnya, apabila disebut 'seluruh Malaysia', tak perlulah kita sebut 'seluruh Malaysia atau negara termasuk Sabah dan Sarawak'. Sesetengah ahli politik suka menggunakan perkataan ini apabila mengumumkan sesuatu dasar untuk dilaksanakan di seluruh negara dengan menyelit perkataan/sebutan 'termasuk Sabah dan Sarawak'.

Bila dah disebut seluruh negara, maknanya 'seluruh negara' kerana sudah diketahui ia termasuk Sarawak dan Sabah. Bagaimana cara mengatasi masalah ini? Ahli politik sama ada yang mewakili parti pemerintah atau pembangkang perlu menghentikan gelaran itu dan begitu juga di pihak media cetak dan elektronik, bagi mengelak rasa prasangka buruk gara-gara buta sejarah.

Lebih menyedihkan ialah masih ada yang menganggap masyarakat dari Sarawak dan Sabah, bagaikan dari negara lain. Baru-baru ini, AKU menegur seorang kawan apabila menyebut ‘kita di Malaysia ini dah tak ada ikan terubuk, harapkan bekalan dari Sarawak saja’ apabila tersasul menyebut Semenanjung sebagai Malaysia, dan baginya Sarawak dan Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia.

Terlanjur atau tersasul adalah perkara biasa tetapi apakah insiden seperti itu masih berterusan selepas negara merdeka 53 tahun atau sesudah 47 tahun Sarawak dan Sabah merdeka melalui Malaysia? Cara mengatasi keterlanjuran seperti ini ialah berfikir dulu sebelum bercakap.

Namun, persepsi negatif lain kini semakin berkurangan berbanding 20 atau 30 tahun lalu, apabila ada yang menganggap masyarakat di Sarawak dan Sabah, mendiami atas pokok. Entah dari mana cerita ini datang. Benar ada kaum tertentu misalnya, suku Penan mendiami kawasan pinggir hutan dan dalam hutan tetapi mereka tidak tidur berumah di atas pokok.

Begitu juga cerita mengenai kaum Iban masih memenggal kepala manusia dan ini pun cerita zaman dulu kala, zaman sebelum kedatangan Jepun pada 1940-an.

Cara menangani masalah ini jika masih ada ialah bertanya dulu atau membaca serta menghayati sejarah. Lebih elok lagi datang sendiri ke Sarawak atau Sabah untuk melihat keadaan sebenar, sambil melancong.

Bagaimanapun, kadang-kala semangat kenegerian tidak boleh dielakkan. Jika nak tengok betapa menebalnya semangat kenegerian, datanglah ke stadium ketika perlawanan bola sepak antara negeri. Jika pasukan Kelantan menentang Selangor, rakyat negeri masing-masing akan sokong pasukan mereka dan begitu juga apabila membabitkan pasukan dari Sarawak dan Sabah.

Malah, ini juga berlarutan apabila membabitkan perlawanan antara daerah di dalam negeri, kerana penyokong dari daerah lain bagaikan nak bergaduh dengan penyokong dari daerah lain. Namun, semangat kenegerian atau kedaerahan dalam sukan seperti ini, lazimnya berlaku pada ketika itu saja dan bila habis permainan, maka tiada lagi isu itu.

Jika mahu melihat betapa menebalnya semangat kebangsaan atau kenegaraan, lihatlah apabila pasukan negara kita menentang pasukan badminton Indonesia atau mana-mana negara lain membabitkan apa juga sukan. Untuk menangani semangat kenegerian ini agak sukar kerana sudah berlaku secara semula jadi dan melalui perkahwinan rasanya akan 'mengurangkan' sedikit perasaan itu jika membabitkan pasukan negeri asal suami atau isteri.

Sebutan 'orang Malaya' pula masih lagi wujud, yang bagi sesetengah masyarakat di Semenanjung agak sensitif. Sebutan itu sebenarnya menebal di kalangan generasi tua tetapi semakin berkurangan untuk generasi muda. Bukan senang untuk menghakiskan fakta sejarah tetapi lama kelamaan, orang akan lupa juga.

Misalnya, di Sarawak pernah ada daerah dipanggil dengan nama 'Binatang' sejak dulu lagi tetapi kira-kira 30 tahun lalu ditukar kepada nama 'Bintangor' hingga sekarang. Bayangkan, dulu kala setiap kali ada ucapan pada majlis keramaian, akan disebut 'Pegawai Daerah Binatang' dan begitu jugalah menjadi sebutan harian, apabila nama jawatan serta daerahnya disebut. Penduduk tempatan tidak akan rasa pelik kerana sudah biasa dengan panggilan itu, tetapi orang luar daerah berkenaan, akan tersenyum malu mendengarnya.

Hakikatnya, Sarawak dan Sabah masih ketinggalan kira-kira 10 tahun dari segi pembangunan berbanding Semenanjung. Semenanjung Tanah Melayu merdeka pada 1957 dan selepas enam tahun kemudian, barulah kedua-dua negeri itu berkerajaan sendiri. Di antara 1957 hingga 1963, penduduk kedua-dua negeri itu masih menggunakan wang penjajah dengan gambar wajah Ratu Elizabeth.

Malah, pegawai asing terus dikekalkan dalam perkhidmatan awam negeri seperti jawatan Residen dan Ketua Polis Negeri untuk beberapa tahun selepas 1963, kerana tidak ada anak tempatan yang layak. Melalui proses 'Borneonisation' atau Borneonisasi, barulah pegawai ekspatriat dikurang dan seterusnya digantikan sepenuhnya oleh anak tempatan.

Hanya selepas 10 tahun menyertai Malaysia, Sarawak dan Sabah mula menikmati erti sebenar merdeka, apabila projek pembangunan lebih banyak dicurahkan dengan bantuan Kuala Lumpur. Pada awal kemerdekaan, Sarawak misalnya berdepan krisis politik dalaman selain ancaman komunis.

Tidak hairanlah pembangunan di Sarawak dan Sabah agak ketinggalan selain masalah geografi dengan keadaan muka bumi berbukit-bukau, terlalu luas hingga hampir menyamai seluruh Semenanjung. Malah bukan mudah untuk membawa pembangunan membabitkan lebih 5,000 kampung dan rumah panjang yang berselerak di seluruh Sarawak. Bayangkan, menjadi Ketua Menteri Melaka berbanding Ketua Menteri Sarawak.

Kerana jurang yang terlalu jauh antara Semenanjung dengan dua negeri di Borneo, juga menyukarkan usaha merapatkan perpaduan pada peringkat awal kemerdekaan. Rakyat saling tidak mengenali antara satu sama lain dari segi bahasa, budaya, cara hidup selain perbezaan sosioekonomi.

Perpaduan nasional meskipun sukar untuk mencapai sepenuhnya, sudah banyak kemajuan sebenarnya dicapai dalam tempoh 47 tahun ini. Cara terbaik untuk mempercepatkan proses integrasi nasional itu, bukan melalui ucapan atau retorik pemimpin politik meskipun peranan itu membantu, sebaliknya melalui perkahwinan dan kekerapan pertemuan di antara rakyat.

Sudah ramai orang Semenanjung berkahwin dengan orang Sabah dan Sarawak, begitu juga sebaliknya. Malah kewujudan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia membantu lebih ramai rakyat Sarawak dan Sabah melawat Semenanjung dan begitu juga sebaliknya.

Dipetik dari penulis asal
Kadir Dikoh

Saturday, September 18, 2010

Angsa oh Angsa!


Jauhilah penyakit gout.Kita tidak boleh makan angsa tetapi kita kena bagi makan angsa.Betulkah Bang Non dan Tuan Shakir?

Mat Robert of Singapore


Petang kelmarin Aku ke pejabat Mamsin di Politeknik,Bandar Perdana. Pukul 4.30 petang sampai di situ. Pejabatnya lenggang dan tenang. Cuma ada seorang dua pegawai yang belum pulang.Pada mulanya dia ajak Aku makan tengahari tapi kerana ada tetamu yang datang jadi ajakan itu terpaksalah diheret ke sebelah petang. Selepas solat asarAku telefon Mat Robert@ Abang Non minta dia datang ke Astana.
Bila kami sampai Mr.Robert sudah sampai. Minggu lepas dia diserang gout yang teruk. Sampai susah nak berjalan. Nak bergerak kena kesot.( Kesiaan kat Abang Non nu TUAN SALIM.Tuan Salim sihat walafiat. Riu sana,riu sini macam kereta kontrol).

Mat Robert kata selepas dia 'belasah' angsa angin peleset gout mula meracau dalam urat sendi dia. Petang itu Mat Robert 'tibai' sepinggan nas,ikan kari dan segelas teh tarek kurang manis. Aku,Mamsin dan 'kawan' Mamsin hanya memerhati sahaja. Aku dan Masin minum dan makan capati sahaja. Kawan Mamsin minum sahaja. Sembang petang itu melarat sampai senja. Senja itu diakhiri bila Mamsin membuka dompetnya. Akaun ditutup.

DARI SOUTHSEA KE CHERBOUGH


Percaya atau tidak tambang pergi balik dari Portsmouth ke Perancis hanya 1 pound (satu pound)sahaja.Perjalanan yang mengambil masa sekitar 6-7 jam melintasi Selat Inggeris. Kapal bertolak di waktu malam dari jam 10 malam dan sampai sekitar 6-7 pagi.Di Perancis, Feri akan berhenti di pelabuhan Cherbough yang amat terkenal dengan makanan lautnya seperti 'lobsters'.Tawaran perjalanan murah ini pernah berlaku pada musim sejuk sekitar bulan Disember 2003.Kapal pelancong ini yang boleh memuatkan lebih 2 ribu penumpang dan beratus-ratus buah kenderaan amat popular di kalangan pelancong Barat yang ingin menikmati suasana angin laut dan suasana kehidupan yang harmoni di atas kapal.

P&O ferries merupakan kapal pelancong yang dilengkapi dengan tempat- tempat penginapan dan hiburan seperti cinema,life show(bukan xx) ,kedai-kedai, pub, bar, pusat gyms,restoran-restoran dan kolam renang.Untuk membuat perbandingan ke pulau gaya yang mengambil masa hanya 15 minit dibayar RM15(aku dan shakir) sehala sedangkan perjalanan menaiki feri mewah hanya 1 pound(RM 7) sahaja pergi balik adalah sesuatu yang tak masuk akal.Kedua-duanya tidak masuk akal.Yang satu untung berlipat ganda yang satu lagi bolehkah mendapat untung? (Tuan shakir boleh jawab).

Inilah dinamakan promosi.Mereka promote kapal, tempat,makanan,barangan dan cara kehidupan hidup masyarakat mereka.Walaupun tambangnya murah dan tidak logik tetapi pelancong akan tetap membeli belah dan berbelanja besar di atas kapal.Untuk penginapan malam 'sleeping cabin'disediakan bagi 2 orang pelancong ialah 20 pounds lengkap dengan bathroom dan toilet.Walaupun dikenakan tambang murah kos-kos lain perlu dibelanjakan untuk lebih selesa.Ramai juga pelancong-pelancong yang tidor bergelimpangan di ataskapal terutama di bangku-bangku yang disediakan. Ada yang tidak tidor langsung meneguk minuman di bar atau pub yang terdapat di atas kapal.

Keesokannya jam 7 pagi kapal tersebut akan berlabuh di pelabuhan
Cherbough.Bermulahlah satu episod perjalanan yang asing dan anda perlu mengetahui sedikit sebanyak Bahasa perancis......' Je ni parle pas bien le francais', Je suis ici en vacances.

Friday, September 17, 2010

Penambang di Pulau Gaya

Di jeti Kota Kinabalu kebanyakan penambangnya terdiri daripada orang Filipin. Mereka telah lama di Pulau Gaya,Sabah. Mereka juga telah mendapat hak sebagai warga negara Malaysia. Di Pulau Gaya ada sekolah menengah dan rendah. Sekolah ini semuanya berada di atas air. Anak-anak keturunan orang Filipina masih mengekalkan budaya dan bahasa mereka. Mereka membuat rumah di atas air di Pulau Gaya.

Penambang di sini semuanya menggunakan injin motor sangkut. Dengan pengangkutan ini mereka mencari makan. Tambang ke Pulau Gaya dari jeti hanyalah RM5.00.Tapi ada penambang di sini yang mengenakan tambang yang mahal kepada pelancong yang belum biasa ke Pulau Gaya. Ada yang meminta RM15.00 untuk 2 orang penumpang untuk pergi sahaja ke Pulau Gaya!

Penambang itu sudah biasa dengan angin laut dan perahu tua.
Di sinilah mereka dilahirkan bersama ombak dan angin laut.
Di sinilah mereka dibesarkan,kahwin,beranak dan bahagia
Pendek kata angin,laut dan ombak adalah mereka.
30 tahun dahulu Aku pernah ke sini melihat kehidupan mereka.
Dan selepas 30 tahun berlalu Aku datang lagi melihat kehidupan mereka.
Rumah seperti 30 tahun dahulu, tetap di atas air.
Mereka tetap dipanggil 'orang Filipin' walaupun sudah sekian lama di sini.
Mereka tetap akan di sini
Esok mereka masih di sini.
Kerana laut adalah mereka.

Thursday, September 16, 2010

Kg Lembah Permai, Kundasang














Namanya Kampung Lembah Permai. Terletak di Kundasang. Tanahnya cukup subur.Perjalanan ke Kundasang kira-kira 90 minit. Penduduk dikampung ini kebanyakannya orang dusun. Orang dusun pandai bertani. Mereka tinggal dikaki Gunung Kinabalu. Mereka menanam kubis dan beraneka sayur. Petani di sini lebih suka menggunakan baja tahi ayam dan sedikit baja kimia. Aku lihat sayur yang ditanam di sini cukup cantik semacam di Cameron Highland. Tapi rasanya udara di sini lebih sejuk daripada Cameron Highland. Sayur-sayur yang ditanam dihantar ke Kota Kinabalu dan di kawasan lain di Sabah. Aku teringat kata-kata Dr. Hamka, "Nusantara itu secebis tanah daripada syorga. Campaklah apa sahaja ia tumbuh,insyaLlah."( Dan tentunya tumbuhan yang sesuai dengan hawa,tanah dan persekitarannya) Di sini jugalah tinggal keluarga Sharina,rakan sekelas semasa di Maktab Perguruan Gaya,Kota Kinabalu(nama dahulu,1979).

Wednesday, September 15, 2010

Buah anggur BuahRambutan............





Dulu semasa aku masih lagi remaja berumur di antara 13-15 tahun ada seorang pekebun yang memiliki kebun rambutan yang luas.Pagi-pagi lagi selepas subuh kami akan datang sembunyi-sembunyi menyutip buah rambutan yang jatuh ke tanah. Beratus pokok rambutan yang ditanam dan buah rambutan yang tidak dikutip akan jatuh ke tanah dan terbiar begitu saja.


Tuan kebun seorang yang kede........... Dia tidak akan membenarkan sesiapa saja masuk ke kebunnya .Di sekeliling kebunnya akan di pagar.Kami berebut-rebut sambil mengutip beraga-raga atau beruncang-uncang buah rambutan yang jatuh ke tanah. Rambutannya dari jenis yang baik.. lekang. Kami mesti keluar dari kebunnya sebelum cerah atau matahari naik kerana Tuan kebun akan datang ke kebunnya menggalas sebilah golok panjang yang di sangkut di bahu kirinya.


Semua orang tidak berani dengan perangainya yang bengis . Semasa kami sedang mengutip rambutan terdengar suara kuat memekik ...lari! lari! lari!. Kami terkejut dan memecut 100m di celah-celah pohon rambutan tanpa mendapat sebarang pingat. Rupa-rupanya yang pekik tadi itu si pencuri yang sama-sama mencuri rambutan. Sambil mencuri sambil berseloroh.


Kini kebun rumbutan itu telah hilang. Kawasan tersebut telah pun dibangunkan dan didirikan rumah-rumah kedai tersergam indah.Tuan kebun tadi telah pun menemui ilahi.. Kini hanya tinggal kenangan yang menyentuh perasaan.


Semasa aku berada di ladang anggur aku terkenang kembali zaman kanak-kanak mengutip rambutan tanpa restu dari tuannya.Tapi di sini bukan mencuri tetapi mendapat kebenaran daripada Tuan tanah. Pohon anggur rendang dan lebat berbuah.Kami makan puas-puas sehingga kenyang sambil mengutip buah tersebut dari atas pokok bukan di atas tanah. Buah anggur yang jatuh ke tanah dibiarkan saja sehingga busuk.Mungkin ada haiwan-haiwan lain yang sudi memamah buah-buah tersebut di atas tanah.


Kadang-kadang perkara yang kita lakukan hari ini adalah perkara yang pernah kita lakukan di masa silam.Dunia ini berputar ibarat roda.Begitulah kehidupan kita sebagai manusia bermula sebagai kanak dan berakhir juga sebagai kanak-kanak.

Tuesday, September 14, 2010

Raya Di Gaya College.

Tahun 1980, suasana hari raya amat suram dan membosankan ! Yang ada hanya kawan2 yg senasib - tak cukup duit nak beli tiket balik kampung. Yang tinggal itulah beberapa kerat budak lelaki dan pompuan dari merata Semenanjung Malaysia yg tiada kemampuan. Tak la macam Kakak Mazwin dan ramai lagi yg ibubapanya loaded. Apa nak buat, bahagian masing2......


Selepas solat raya, kami pulang ke bilik masing2 dgn juadah kuih seadanya, kiriman ibubapa masing2 yg masih ingat kepada anak2nya dirantauan. Belah petang, aku dan kroni rapat ke Lok Kawi Kem, beraya ke quaters tentera saudara2ku. Raya ke 2, ke rumah saudara amiruddin di Kg Likas, raya ke 3, dok aje kat maktab, nyembang2 dan kutuk2 sana sikit sini sikit.

Ada juga niat nak ziarah rumah kawan2 Sabahan, tapi, semua jauh dah perlukan tambang. Aaahhh... dok college je la, jimat belanja. Pada musim cuti dan perayaan besar seperti ini, college kita org yg punya, jadi projek ngintai diluluskan bersama. Kami pergi ke kooperasi, kalau2 ada ruang makanan segera, lepas tu cuba plak ke dewan makan, kalau2 ada sisa2 biskut atau serbuk bancuhan minuman. Tak banyak yg kami dapat sbb ketika itu, perasaan itu bercampur baur dengan halal, haram, berkat dan dosa kering. Kesudahannya, makan la habuk2 kuih dari sisa makan yg dikirim kelmarin. Sebak dada ni mengenangkan sukarnya menjadi pelatih perguruan dulu berbanding pelatih Institut Perguruan sekarang ni. Anda, guru2 pelatih baru wajib bersyukur dengan kurniaan Allah dan kerajaan kerna nikmat ini. Bersyukurlah adik2 dan anak2.

Kini, tahun 2010, hari raya muncul lagi dengan suasana yang amat jauh berbeza. Kita sudah jauh lebih matang, jauh cara pemikiran dan jauh ke dalam keluasan dahi serta sudah nampak jelas maatlamat kerja. Ada yang sudah sampai ke penghujung, ada yang dah puas dgn nikmat kehidupan dan ada yang muak dengan bidang ini.


Paling jelas, saudara Shakir dan Salim dah mendahului kita, mereka dah bersara. Jeles aku. Bakal menyusul ialah beberapa seniur umur dan seniur maktab. Doa kebahgiaan dariku utk mu.

Akhir salam, Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri tahun 1431H/2010M - 30 tahun kenangan lama yang amat menyentuh perasaan.

Sekolah Vokasional Sandakan dalam kenangan



Sekolah Menengah Vokasional Sandakan ialah sekolah pertama aku mula mengajar selepas tamat pengajian di Gaya College.SMV Sandakan terletak berdekatan dengan SMK Sandakan dan Maktab Perguruan Sandakan. Mamsin, Omar (kubur panjang juga mengajar di sekolah yang sama. Kami bersyukur kerana penempatan kami adalah di kawasan bandar. Ada sahabat-sahabat kami yang dihantar ke pendalaman seperti Ali Marjamah yang di hantar ke Pamol.Aku pernah ke tempatnya menaiki bot panjang dan laju menyusur sungai yang mengambil masa yang agak lama untuk sampai ke sana.Cik Li mula bertugas di SMK Sandakan bersama Saiful. Shakir dilempar ke Tenom yang agak jauh.Abang Non Siam membawa diri ke Papar kerana merajuk?


Aku mengajar BI dan Pengajian kemasyarakatan.Kebanyakan murid-muridnya telah dewasa dan ada yang berumur lebih 20 tahun.

Disiplin pelajar pada masa itu kurang memuaskan.Kerap berlaku pergaduhan di antara mereka kerana pelajar-pelajar datang dari tempat yang berlainan dari seluruh pelusuk Sabah. Masalah disiplin dapat dikawal oleh seorang Ketua Pengawas Isa Jasni dan pihak pentadbir dengan cekap walaupun terdapat kekecohan yang terjadi pada masa itu.


Sandakan,bandar yang kedua terbesar selepas KK merupakan pelabuhan yang penting.Bandarnya di pinggir pantai dan menjadikan sumber makanan laut yang utama di kalangan penduduk .Makanan laut seperti udang,sotong,ketam dan juga ikan terlalu murah.Pasar ikan agak besar dan di sini terdapat berbagai-bagai jenis ikan laut dengan harga yang murah.

Dari pusat bandar ke SMV Sandakan kita boleh melalui Jalan Labuk.SMV Sandakan terletak di Batu 4 Jalan Labuk. Selepas 3 tahun mengajar di SMV Sandakan aku berpindah ke SMK Putatan, Kota Kinabalu. Di sini aku bertemu Syed Hussin Al-Eldros dan adik Sharifah(PIS 79/80). Aku dapat mengekalkan sejarah tidak pernah mengajar di kawasan pendalaman sehinggalah aku bertukar ke Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.Kini menjadi guru hanya tinggal kenangan.Jangan sedih Tuan Shakir............


Tahun 1981 murid-murid di dalam gambar ini berumur 16 tahun. Tahun 2010 mereka berumur 16+30 iaitu 46 tahun.Semoga mereka berbahagia di samping suami-suami dan anak-anak-anak tersayang.Mungkin ada yang telah menimbang cucu.

SMK Perai dalam ingatan


Tahun 1988 aku mengajar di SMK Perai,Seberang Perai bersama Malik.Kalau kita memandu mengikut Jalan Baru Perai sekolah tersebut telah terlindung oleh sebuah supermarket yang terbesar di Perai(Perai Mall,kalau tak silap). SMK Perai terletak bersebelahan Supreme Garden. Kini kawasan tersebut terlalu padat dikelilingi bangunan-bangunan baru .Proses pemodenan telah merobah keadaan sekeliling.Aku akan berulang alik dari Penang melalui Penang Bridge dan keadaan trafik agak lembab tika itu dan sesekali kereta dipadu lesu..Kami sempat 'relax' di atas jambatan sambil menikmati angin laut yang nyaman. Boleh dikatakan kalau mengantuk pun boleh tidur di atas jambatan dan para pemandu pasti dapat mengelak. Jambatan yang ke3 terpanjang di dunia di buka pada tahun 1986 itu cukup lengang pada masa itu.Aku menaiki scrambler bersama Cikgu Zul(kini entah di mana?)seolah-olah jambatan itu kami yang punya.


Tahun 1988 telah meniggalkan seribu cerita dan memasuki era tahun 2010Pada musim perayaan untuk keluar masuk ke Penang bridge adalah satu penyeksaan.Perjalanan 10 minit melalui jambatan boleh berlarutan hingga berjam-jam sekiranya berlaku kesesakan trafik.Baru-baru ini semasda aku nak ke Tanah Besar Perai terpaksa menunda perjalanan kerana Feri dan Jambatan Pulau Pinang penuh sesak apabila berlakunya kebakaran calble di atas jambatan tersebut.


Gambar ini diambil semasa aku akan ke UK tahun 1988 bersama pelajar-pelajar Tingkatan Dua SMK Perai.Mereka berumur sekitar 14 tahun. Kini telah 22 tahun berlalu dan masing-masing telah berumahtangga dan berumur sekitar 14+22 iaitu 36 tahun.Aku masih ingat mereka mengadakan majlis perpisahan di dalam kelas dan ada yang menangis sedih dan pilu.

Sejak itu aku tidak lagi bertemu mereka hingga kini.Yang bermula pasti akan berakhir.Semoga mereka mendapat kebahgiaan di samping suami/isteri dan anak-anak.

Monday, September 13, 2010

Uncle Mus Peminat Setia Blogpis


Salim selalu menceritakan tentang Uncle Mus kepada Aku. Menurut Salim Uncle Mus selalu melayari blogpis dari London. Dan sebagai mana yang dicerita oleh Salim, Uncle Mus banyak membantu dia dan pelajar-pelajar Melayu di London. Beliau cukup rapat dengan Salim.Menurut Salim,Uncle kerap menelefon dia.

Beliau cukup suka membaca cerita-cerita yang kami paparkan dalam blog ini. Terima kasih Uncle Mus.InsyaLlah, pandai umur kita jumpa di Penang.

Sekeping poskad dari France


Ini bukanlah sekeping surat cinta dari Hakima Nouqri tetapi sekeping lebaran tanda ingatan kasih yang abadi daripada insan yang berlainan bangsa.Kata pepatah harimau mati meninggalkan belang manusia mati meninggalkan nama.Berkawan biar seribu berkasih biar satu.(Betulkah yang aku sebut ni Tuan shakir....? kalau silap tolong perbetulkan). Di mana saja kita berada nilai-nilai kemanusiaan menjadi kayu pengukur diri seseorang.Jangan ada sikap prejudis sesama makluk.Yang menilaikan diri seseorang bukan manusia tetapi Allah s.w.t.

Buka...Tutup....Tekannnnnnnn.....


Berhari raya di perantauan tidaklah seindah di kampung halaman.Bagi para pelajar menghadiri kuliah adalah wajib dan tidak ada istilah cuti.Paling menyedihkan apabila exams jatuh pada pagi raya.Malam raya juga tidak terasa.Bagi yang bekerja seperti aku tidak akan merasa hari raya.


Pagi raya umat Islam bersiap sedia untuk ke masjid tapi aku bersiap sedia untuk ke tempat kerja berbekalkan sedikit makanan dan minuman(bukan kueh raya).Apabila sampai di tempat kerja respond dari rakan sekerja hanya 'good morning' bukan selamat hari raya maaf zahir bathin.Apa yang dilakukan di tempat kerja..BUKA .....TUTUP.....TEKAN.... BUKA ...TUTUP...TEKAN... Itulah rutin kerja dari pukul 7 pagi hingga 3 petang.Kalau sambutan hari Christmas aku dapat kad ucapan beratus-ratus termasuk hamper yang penuh dengan makanan. Walaupun kemudahan SMS telah wujud tetapi masyarakat di sini masih lagi menjaga tradisi dan mengekalkan Kad Christmas.Malah dapat bonus sebanyak 50pnds dimasukkan ke dalam Akuan Barclay Bank..


Besok nak raya ajak kawan-kawan berkumpul dan masak apa saja untuk persiapan . Masak lemang jauh sekali.Mana ada buluh nak bakar lemang.Masakan rendang daging bersama nasi beriani menjadi juadah hari raya.Bagi cik mek molek yang rajin-rajin ada yang buat kueh raya ala kadar untuk memeriahkan lagi suasana hariraya.Malam raya lebih meriah daripada pagi raya.Kaset atau Cd lagu raya berkumandang sampai nak pecah anak telinga.Yang mana tertinggal buah-hati di kampung halaman mulalah gelisah macam kucing nak beranak.Ada yang menangis tersedu-sedu sebab rindu tak tertahan. Lagu dendang perantau nyanyian Allahyarham P. Ramlee menambahkan lagi suasana pilu.


Berkumpul beramai-ramai di malam raya raya dapat menghilangkan kerinduan dan keresahan terhadap keluarga.Berkumpul dan saling membantu memasak resepi pilihan hari raya. Masa menumis aroma curry dapat dihidu hingga sebatu.Kalau yang teringin nak makan ikan masin goreng lagi merepek.Bau ikan masin goreng terhidu sampai ke rumah jiran sebelah...'mat salleh'. Besok bila bertemu Nancy,seorang nenek tua berusia lebih 90 tahun yang masih lagi memandu kereta tersemput-semput bertanya,'siapa yang bakar sampah kering semalam ?' Alahai nek bukan sampah kering itu bau ikan masin. Itulah nasib di perantauan benda yang busuk pun jadi sedap. Itu belum lagi bakar belancan untuk buat sambal belancan.Di sini mudah kita menghidu sesuatu ibarat menumis curry di dalam bilik air-cond.


Selepas pulang kerja jam 3 petang bergegas ke rumah member-member untuk beraya.Pukul 5 petang barulah dapat menghubungi ayahanda/bonda dan sanak saudara di Tanah air.Beli 5pnds phonecard dapat bercakap hingga 4 jam.Murah.Apakan daya nasib anak perantauan jam 5 petang di UK , di Malaysia pukul 1 pagi. Ayahanda/bonda dan sanak saudara sedang tidur di buai mimpi.Talipon tidak dijawab.Sedih dan pilu.


Lupakan saja.Besok masik ada. BUKA....TUTUP.....TEKAN.....BUKA.....TUTUP.....TEKAN sebuah mesin yang mengeluarkan side-mirror kereta jaguar dan Ford.Itulah kerja harian selama 8 tahun selama berada perantauan dengan pendapatan yang agak lumayan.

Gadis-gadis Morocco


Berulang-alik ke ke London dari portsmouth sudah menjadi routine harian.Perjalanan dengan kereta api mengambil masa 1/1/2 jam melalui beberapa bandar utama .Di luar jendela keretapi pemandangan cukup indah.Sayup mata memandang terdampar luas ladang gandum yang menguning.Ladang ternakan seperti lembu dan biri-biri juga jelas kelihatan.Sesekali keretapi meluncur laju melimpasi ladang Ba--. Besarnyanya seperti seekor anak lembu. Seringkali keretapi berhenti mengambil penumpang yang bekerja di bandar-bandar utama tetapi menetap di bandar lain.


Kereta api berhenti di sebuah bandar bernama Guildford.Bergegas seorang gadis mirip arab duduk di sebelahku. Aku akan menaiki keretapi dari London pada waktu yang sama dimana dia juga akan menaiki kereta api tersebut.Walaupun sebelum itu masing-masing memberi tumpuan tetapi keadaan masa tidak mengizinkan .Selalunya di penghujung perjalanan tempat duduk mulai lengang.Entah kenapa tiba-tiba dia terdampar duduk di sebelahku pada petang itu.Orang memberi kita merasa orang berbudi kita berbahasa. Dia mengeluarkan sebuah buku cerita yang tidak berapa tebal sambil membelek-belek..Aku dapat lihat tulisan pada buku itu di dalam bahasa Perancis.Sudah menjadi lumrah bagi masyarakat Barat yang gemar membaca semasa di dalam perjalanan untuk menghilangkan bosan.Di dalam bas, keretapi, di station-station buku menjadi teman hidup mereka.


Tanpa segan silu aku membuka bicara, Dous etes-vous? Dia menjawab, "morocco". Aku bertanya lagi," Comment Vous appelez-vous? Dia menjawab, 'Hakima'. Aku memperkenalkan diriku,'je m'apple salim' . Je suis Malaysia. J'habite a portsmouth, je suis ettudiant.

Itulah perbualan aku dengan Hakima seorang gadis morocco warganegara Perancis yang bekerja di England.Berasal dari Rabat,Morocco.Di sini terdapat sebuah Istana Di Raja dan merupakan pusat pemerintahan negara.Rabat tidak jauh dari Casablanca iaitu bandar yang terbesar di Afrika Utara.Casablanca merupakan pusat perniagaan dan industri.Sebuah bandar yang lengkap dengan hotel-hotel mewah,komplek membeli-belah dan restoran yang menjadi daya tarikan pelancong asing.Casablanca merupakan pusat tumpuan pelancong dari Barat.


Dia berulang alik dari Portsmouth ke Guildford menaiki keretapi seperti aku berulang alik dari Portsmouth ke London.Walaupun jaraknya agak jauh tetapi kehadiran Hakima yang sering menemaniku semasa berada di perut keretapi membuatkan masa terlalu cepat. Di sinilah aku mula mengenali masakan enak dari morocco.Aku mula mengenali couscous dan mint tea.......... Hakima adalah guruku yang mengajar Bahasa Perancis.Kelmarin aku menerima sepucuk surat dari hakima.Dia kini telah pulang ke Perancis dan menetap di sana.Dia seorang sahabat yang baik.Setiap yang bermula akan berakhir.Kami telah menuju ke destinasi yang berlainan dan membawa haluan masing-masing.
'gambar kenangan semasa Hakima berkunjung ke rumahku'
.............Bersambung


Thursday, September 9, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

















Apabila tiba waktunya Ramadhan mengundurkan diri. Syawal sebagai pengganti diri.Kedatangannya disambut dengan takbir dan tahmid.
Rakan dan taulan,
Sahabat dan kerabat,
Yang setia melawat blog ini
Dengan penuh sungguh kesabaran membaca dan menelitinya
Aku doakan kalian sentiasa di bawah lembayung rahmatNYA
Maaf dipinta
Yang baik itu daripada Allah
Kesilapan itu milik Aku
Bersama kita menghulurkan tangan menyambut kedatangannya
Dan bersama kita merayakan Hari Kemenangan.
Daripada
Shakir dan Salim Ketunggap







Tuesday, September 7, 2010




Dikesempatan ini aku, Mohd Mamsin Anor Kassim, MPG PIS Class of 79/80 mengucapkan Salam Eidul-Fitr dan Maaf Zahir Batin kepada semua rakan-rakan ex-MPG. Apa yg dahulunya ter ..... - terkata, termakan, terambil, terdera (he he ... junior yg ter oriented) dan lain-lain ter ....), aku pohon ampun & maaf. Moga kita semua berjumpa lagi di REUNION yg bakal dirancang.

Salim, hang raya kat Kedah or Penang? Mai la rumah aku nanti dengan Shakir dan kalau ada member-member lain sama.

Wassalam

Friday, September 3, 2010

Meniti Sepanjang Ramadhan

Ke Baling sempat berjumpa dengan Badaruddin Khatib. Lalu diajaknya berbuka puasa dirumahnya,
Sedap dan menyelerakan, Jadi Aku berbuka di Baling dan makan sahur di Bukit Mertajam.
Dan Bada bercerita,"Aku nak ke Mekah tahun ini." Kenapa kenapa soalan lain yang melompat dari mulut Badar. "Salim di mana?'. Dia di Kuala Lumpur, Dia berniaga. Aku tak tanya. Aku di rumah dia hari itu. Bermalam di situ dan makan malam di situ.
Baru Aku ingat Badar pernah ke rumah Salim di Balik Pulau pada tahun 1979. Dia masih ingat lagi dusun durian.

Che Li Din masih di Gurun. Bila ada waktu senggang Aku telefon Che Li sebelum balik ke Bukit Mertajam. Hari itu hari Jumaat. Katanya solat saja di Pewaja. Besar suraunya seperti masjid dan dibenarkan untuk membuat solat Jumaat. Aku kira surau itu mampu menampung 1000 orang lebih.Hari itu di kaki limanya penuh sendat. Kutbahnya bersemangat dan padat.

Facebook, Wajah-wajah baru muncul. Raja Azman Shah,Normadiah, Gasmin Nasib,Zahari Manan yang penuh dan padat dengan kesibukan menjaga anak didik PMRnya.
Azlan Don kini sudah bersara awal kerana sakit kencing manis. Dan kini menetap di Grik.
Aku berharap Salim,Non dan Mamsin bolehlah kita ziarah junior kita ni. Tiga puluh tahun berlalu. Hari ini baru Aku tahu tentang untung nasib Si Azlan. Insyallah agar Allah mempertemukan kami dengan dia,