Sunday, September 19, 2010
Erti sebenar Hari Malaysia belum terisi
SAMBUTAN Hari Malaysia pada 16 September, sudah berlalu dan kebetulan berada pada bulan Syawal. Banyak lagi perkara sebenarnya memerlukan renungan bersama berkaitan pengertian Hari Malaysia. Semua tahu apa itu Hari Malaysia dan bagaimana ia dibentuk tanpa perlu lagi kita jelaskan di sini, asalkan seseorang itu rajin membaca.
Bagi generasi muda, mereka tidak perlu ditanya kerana daripada pengetahuan sifar mengenai Hari Malaysia, mereka boleh menulis dan membicarakannya dengan cuma mencari bahan yang berkaitan dalam internet.
Apa yang perlu diberi tumpuan ialah pengisian erti Hari Malaysia itu sendiri kerana masih banyak prasangka buruk, prejudis, salah faham dan semangat kenegerian yang menebal bersarang di hati kita rakyat Malaysia.
Mungkin ada yang diperkatakan di Semenanjung mengenai sesuatu perkara itu tidak menimbulkan sebarang masalah tetapi agak sensitif bagi masyarakat di Sarawak dan Sabah, dan begitu juga sebaliknya.
Contohnya, apabila disebut 'seluruh Malaysia', tak perlulah kita sebut 'seluruh Malaysia atau negara termasuk Sabah dan Sarawak'. Sesetengah ahli politik suka menggunakan perkataan ini apabila mengumumkan sesuatu dasar untuk dilaksanakan di seluruh negara dengan menyelit perkataan/sebutan 'termasuk Sabah dan Sarawak'.
Bila dah disebut seluruh negara, maknanya 'seluruh negara' kerana sudah diketahui ia termasuk Sarawak dan Sabah. Bagaimana cara mengatasi masalah ini? Ahli politik sama ada yang mewakili parti pemerintah atau pembangkang perlu menghentikan gelaran itu dan begitu juga di pihak media cetak dan elektronik, bagi mengelak rasa prasangka buruk gara-gara buta sejarah.
Lebih menyedihkan ialah masih ada yang menganggap masyarakat dari Sarawak dan Sabah, bagaikan dari negara lain. Baru-baru ini, AKU menegur seorang kawan apabila menyebut ‘kita di Malaysia ini dah tak ada ikan terubuk, harapkan bekalan dari Sarawak saja’ apabila tersasul menyebut Semenanjung sebagai Malaysia, dan baginya Sarawak dan Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia.
Terlanjur atau tersasul adalah perkara biasa tetapi apakah insiden seperti itu masih berterusan selepas negara merdeka 53 tahun atau sesudah 47 tahun Sarawak dan Sabah merdeka melalui Malaysia? Cara mengatasi keterlanjuran seperti ini ialah berfikir dulu sebelum bercakap.
Namun, persepsi negatif lain kini semakin berkurangan berbanding 20 atau 30 tahun lalu, apabila ada yang menganggap masyarakat di Sarawak dan Sabah, mendiami atas pokok. Entah dari mana cerita ini datang. Benar ada kaum tertentu misalnya, suku Penan mendiami kawasan pinggir hutan dan dalam hutan tetapi mereka tidak tidur berumah di atas pokok.
Begitu juga cerita mengenai kaum Iban masih memenggal kepala manusia dan ini pun cerita zaman dulu kala, zaman sebelum kedatangan Jepun pada 1940-an.
Cara menangani masalah ini jika masih ada ialah bertanya dulu atau membaca serta menghayati sejarah. Lebih elok lagi datang sendiri ke Sarawak atau Sabah untuk melihat keadaan sebenar, sambil melancong.
Bagaimanapun, kadang-kala semangat kenegerian tidak boleh dielakkan. Jika nak tengok betapa menebalnya semangat kenegerian, datanglah ke stadium ketika perlawanan bola sepak antara negeri. Jika pasukan Kelantan menentang Selangor, rakyat negeri masing-masing akan sokong pasukan mereka dan begitu juga apabila membabitkan pasukan dari Sarawak dan Sabah.
Malah, ini juga berlarutan apabila membabitkan perlawanan antara daerah di dalam negeri, kerana penyokong dari daerah lain bagaikan nak bergaduh dengan penyokong dari daerah lain. Namun, semangat kenegerian atau kedaerahan dalam sukan seperti ini, lazimnya berlaku pada ketika itu saja dan bila habis permainan, maka tiada lagi isu itu.
Jika mahu melihat betapa menebalnya semangat kebangsaan atau kenegaraan, lihatlah apabila pasukan negara kita menentang pasukan badminton Indonesia atau mana-mana negara lain membabitkan apa juga sukan. Untuk menangani semangat kenegerian ini agak sukar kerana sudah berlaku secara semula jadi dan melalui perkahwinan rasanya akan 'mengurangkan' sedikit perasaan itu jika membabitkan pasukan negeri asal suami atau isteri.
Sebutan 'orang Malaya' pula masih lagi wujud, yang bagi sesetengah masyarakat di Semenanjung agak sensitif. Sebutan itu sebenarnya menebal di kalangan generasi tua tetapi semakin berkurangan untuk generasi muda. Bukan senang untuk menghakiskan fakta sejarah tetapi lama kelamaan, orang akan lupa juga.
Misalnya, di Sarawak pernah ada daerah dipanggil dengan nama 'Binatang' sejak dulu lagi tetapi kira-kira 30 tahun lalu ditukar kepada nama 'Bintangor' hingga sekarang. Bayangkan, dulu kala setiap kali ada ucapan pada majlis keramaian, akan disebut 'Pegawai Daerah Binatang' dan begitu jugalah menjadi sebutan harian, apabila nama jawatan serta daerahnya disebut. Penduduk tempatan tidak akan rasa pelik kerana sudah biasa dengan panggilan itu, tetapi orang luar daerah berkenaan, akan tersenyum malu mendengarnya.
Hakikatnya, Sarawak dan Sabah masih ketinggalan kira-kira 10 tahun dari segi pembangunan berbanding Semenanjung. Semenanjung Tanah Melayu merdeka pada 1957 dan selepas enam tahun kemudian, barulah kedua-dua negeri itu berkerajaan sendiri. Di antara 1957 hingga 1963, penduduk kedua-dua negeri itu masih menggunakan wang penjajah dengan gambar wajah Ratu Elizabeth.
Malah, pegawai asing terus dikekalkan dalam perkhidmatan awam negeri seperti jawatan Residen dan Ketua Polis Negeri untuk beberapa tahun selepas 1963, kerana tidak ada anak tempatan yang layak. Melalui proses 'Borneonisation' atau Borneonisasi, barulah pegawai ekspatriat dikurang dan seterusnya digantikan sepenuhnya oleh anak tempatan.
Hanya selepas 10 tahun menyertai Malaysia, Sarawak dan Sabah mula menikmati erti sebenar merdeka, apabila projek pembangunan lebih banyak dicurahkan dengan bantuan Kuala Lumpur. Pada awal kemerdekaan, Sarawak misalnya berdepan krisis politik dalaman selain ancaman komunis.
Tidak hairanlah pembangunan di Sarawak dan Sabah agak ketinggalan selain masalah geografi dengan keadaan muka bumi berbukit-bukau, terlalu luas hingga hampir menyamai seluruh Semenanjung. Malah bukan mudah untuk membawa pembangunan membabitkan lebih 5,000 kampung dan rumah panjang yang berselerak di seluruh Sarawak. Bayangkan, menjadi Ketua Menteri Melaka berbanding Ketua Menteri Sarawak.
Kerana jurang yang terlalu jauh antara Semenanjung dengan dua negeri di Borneo, juga menyukarkan usaha merapatkan perpaduan pada peringkat awal kemerdekaan. Rakyat saling tidak mengenali antara satu sama lain dari segi bahasa, budaya, cara hidup selain perbezaan sosioekonomi.
Perpaduan nasional meskipun sukar untuk mencapai sepenuhnya, sudah banyak kemajuan sebenarnya dicapai dalam tempoh 47 tahun ini. Cara terbaik untuk mempercepatkan proses integrasi nasional itu, bukan melalui ucapan atau retorik pemimpin politik meskipun peranan itu membantu, sebaliknya melalui perkahwinan dan kekerapan pertemuan di antara rakyat.
Sudah ramai orang Semenanjung berkahwin dengan orang Sabah dan Sarawak, begitu juga sebaliknya. Malah kewujudan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia membantu lebih ramai rakyat Sarawak dan Sabah melawat Semenanjung dan begitu juga sebaliknya.
Dipetik dari penulis asal
Kadir Dikoh
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Terima kasih Wan yang menghantar petikan yang begitu bermakna untuk renungan kita semua.Sebagai rakyat Malaysia kita patut berbangga kerana negara telah terlepas dari kemelut penjajah.Dulu kita dijajah disebabkan kemunduran di bidang pendidikan,ekonomi dan politik.Sebagai guru kita mempunyai peranan penting mendidikan anak-anak bangsa ke arah memahami nilai-nilai kemanusiaan menghormati agama,adat,kebudayaan dan cintakan negara.Aku masih ingat lagi sewaktu di sekolah rendah dan menengah kita amat menghormati guru.Mata pelajaran Sejarah dan Ilmu Alam membantu kita memahami perkembangan luar dan dalam negara.Kita perlu juga memahami bagaimana negara maju terus maju dan negara mundur terus mundur.Negara-negara miskin dengan politiknya yang tidak stabil sedangkan negara maju menguasai ekonomi dunia.Ramai yang memiliki kelulusan yang tinggi tetapi nilai-nilai kemanusiaan di dalam diri tidak kukuh hingga berlaku penindasan,rasuah,perebutan kuasa,pembunuhan dsbnya.Seorang kawan(bangsa Australia) pernah berkata....'saya menghantar anak saya masuk universiti bukan semata-mata untuk mendapat ijazah tetapi yang paling penting supaya dia dapat mempelajari nilai-nilai kemanusiaan.Tanpa nilai-nilai kemanusiaan di dalam diri seseorang akan berlakunya rasuah,sikap prejudis,tamak,benci dan akhirnya masyarakat atau negara akan hancur.Salah siapa?Tanpa nilai-nilai kemanusiaan jenayah'kolar putih'akan terus bermaharajalela.Kita perlu kembali kepada asal usul kita.Sejarah banyak menceritakan kisah-kisah silam yang perlu kita ambil iktibar.Ilmu Alam atau Georafi perlu diberi penekanan kerana kita dapat mempelajari kedudukan bentuk mukabumi dan ekonomi negara luar lebih-lebih lagi negara maju.Cuba kita senaraikan negara-negara yang miskin apakah peranan yang dimainkan oleh rakyat atau pemimpin negara tersebut? Tentu anda dapat menilaikannya.............
ReplyDeleteBetul Tuan SALIM. Sebagai PENDIDIK yang mempelajari ilmu pendidikan di SABAH dari tahun 1979 hingga 1980 telah mengajar kita dan telah menjadikan kita sebagai MANUSIA yang bangga sebagai RAKYAT MALAYSIA. SABAH, SARAWAK dan Negeri negeri lain di SEMENANJUNG membentuk sebuah Negara MALAYSIA. Aku sudah mengerti kenapa negara kita aman dan damai. Ia kerana MALAYSIA.
ReplyDeleteA real Malaysian at heart you Wan.
ReplyDeleteAku kira kesilapan ini dimulakan oleh orang poltik yang buta sejarah.
ReplyDeleteOrang politik dulu lebih genuin berbanding sekarang kerana perjuangan mereka ( latarbelakang guru dan org berilmu akhirat )adalah untuk agama, bangsa dan negara. Kebelakangan ini, wakil rakyat lebih fokus kepada material, wang, kekayaan kepentingan survival peribadi ( karier ). majotiti mereka adalah ahli koperat yg berqiblat kepada duniawi. Cuba bezakan antara guru agama dan ustaz. Antara akedemik di sekolah pondok dengan akedemik agama di sekolah kerajaan. Yang memilih praktik agama dan agama utk sijil dan cari makan. !!
ReplyDeleteYa sebutan 'orang Malaya' memang didendangkan pada suatu masa dahulu. Bila marah ungkapan ini terpancut keluar.....DAN aku tidak pernah marah...
ReplyDelete